Anda di sini

Zulfadli juara GP Badminton Sirkit Kebangsaan Akhir

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli dan Yang Li Lian masing-masing muncul juara perseorangan lelaki dan wanita Grand Prix (GP) Badminton Sirkit Kebangsaan Akhir di sini, malam kelmarin.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Negeri Kuala Terengganu itu, Zulfadli yang merupakan juara badminton remaja dunia 2011, menewaskan Lim Chi Wing 21-12, 21-15.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, manakala naib juara meraih RM3,600.

Sementara itu, pemain kebangsaan Yang Li Lian mengungguli perseorangan wanita apabila mengalahkan Lee Ying Ying 21-16, 21-13 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

Naib juara menerima RM2,000.

Pasangan Mak Hee Chun- Tan Bin Shen pula muncul juara kategori beregu lelaki setelah menumpaskan gandingan Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi 21-18, 21-15.

Amelia Alicia Anscelly- Soong Fie Cho pula mengungguli acara beregu wanita setelah mengenepikan cabaran pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 21-17, 21-14.

Acara beregu campuran milik gandingan Mohd Lutfi Zain Abdul Khalid-Soong Fie Cho yang menumpaskan pasangan Tan Aik Quan-Lai Pie Jing 21-18, 21-15.

Kejohanan tersebut disertai 67 pemain lelaki dan wanita yang memperoleh mata tertinggi dalam sirkit pertama dan kedua sebelum ini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Badminton Terengganu Datuk Syed Abu Bakar Abdullah. — Bernama

Advertisement