Anda di sini

Turunkan harga barangan

Advertisement

Harga baharu minyak RON95 dan RON97 akan lebih rendah

KUALA KANGSAR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berharap pemilik syarikat, pengilang, pengedar dan peruncit menurunkan harga barangan berikutan penurunan harga petrol.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengumumkan harga baharu minyak RON95 dan RON97 yang dijangka pada kadar lebih rendah, malam tadi.

“Dari segi harga barang, apabila minyak naik 20 sen, harga barang naik. Ini dah sebulan minyak turun, tidak nampak pergerakan harga barang menurun.

“Saya mengharapkan peniaga bertanggungjawab melaksanakan amanah untuk turunkan harga barangan keperluan rakyat kerana di tangan rakyat ada kuasa untuk menentukan kelangsungan perniagaan mereka (peniaga),” katanya selepas meninjau beberapa kawasan banjir di sini semalam.

Beliau berkata pengguna mempunyai kuasa untuk memilih barangan dan memboikot sesuatu barangan itu.

“Pengguna ada kuasa, sekiranya mereka gunakan kuasa itu akhirnya yang rugi peniaga. Apabila perkara ini berlaku ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, lebih baik kita menggunakan prinsip menang-menang, pengguna dapat barang murah, peniaga pun ada untung,” katanya.

Mengenai peniaga meng-ambil kesempatan menaikkan harga barangan pada musim banjir, beliau berkata ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya kawasan itu masih boleh dilalui pembekal ayam…ayam tidak patut naik harga sampai RM30 kecuali sesuatu kawasan itu terputus hubungan.

“Tetapi ada kawasan yang tidak banjir pun, tiba-tiba naik harga barang, itu meng-ambil kesempatan dalam kesempitan dan perbuatan sedemikian tidak berkat,” katanya. — Bernama

Advertisement