Anda di sini

Projek tebatan banjir keutamaan RMK-11

Advertisement

Berikutan banjir begitu serius, ternyata tebatan sedia ada belum berkesan sepenuhnya

KEMAMAN: Projek tebatan banjir di seluruh negara akan menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sebagai langkah untuk mengatasi bencana banjir pada masa akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata jabatan-jabatan yang berkenaan akan diminta mengemukakan laporan dan kajian sebelum perinciannya dapat ditentukan.

“Tentu sekali kita kena minta laporan daripada jabatan-jabatan berkenaan (dahulu) dan masa yang paling awal (pelaksanaan projek) adalah dalam tempoh RMK-11 nanti.

“Dengan berlakunya banjir di beberapa buah negeri secara serius kali ini, sudah tentu keperluan projek-projek tebatan banjir perlu diberi keutamaan yang lebih tinggi dalam tempoh RMK-11, namun ia bergantung kepada kewangan kerajaan,” katanya. RMK-11 bermula pada 2016.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat pengurusan banjir Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Pembandaran Kemaman dan meninjau keadaan banjir di bandar Cukai, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga anggota Parlimen Kemaman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Najib berkata ini berikutan banjir yang berlaku di beberapa negeri begitu serius dan ternyata sistem tebatan banjir sedia ada belum berkesan sepenuhnya.

Katanya kerajaan perlu melihat terlebih dahulu kemampuan kewangan negara kerana satu tebatan banjir akan memakan kos ratusan juta ringgit dan membabitkan kawasan yang dikenal pasti berisiko di seluruh negara.

Terdahulu, Perdana Menteri diberi taklimat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar tentang keadaan semasa banjir di Kemaman. — Bernama

Advertisement