Anda di sini

Pemuda UMNO tubuh skuad pembersihan

MARAN: Dalam usaha meringankan bebanan mangsa banjir,  Pemuda UMNO mengambil inisiatif menu-buhkan skuad pembersihan pasca banjir, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Skuad Pembersihan Pemuda UMNO yang akan dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan belia itu akan dilengkapkan dengan peralatan mesin penyembur air untuk membolehkan mereka menolong membersihkan kawasan rumah, sekolah dan bangunan awam terjejas banjir.

“Banjir ini tidak berakhir sejurus mangsa pulang ke rumah sahaja tetapi mereka masih perlu bantuan ter-utama dalam membersihkan kawasan rumah sebab dinaiki air serta mempunyai kesan lumpur yang teruk dan masih memerlukan bantuan berterusan daripada agensi kerajaan.

“Sehubungan itu Pemuda UMNO menubuhkan skuad ini dan Pemuda negeri lain (tidak terjejas banjir) akan pergi ke negeri yang terlibat selepas banjir (surut) untuk terus bersama-sama rakyat untuk membantu operasi pembersihan,” katanya.

Khairy yang merupakan Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kampung Kuala Wau dan Balai Raya Lubuk Paku di sini semalam. Turut serta anggota Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Ab Muttalib.

Katanya, Pemuda UMNO di setiap negeri yang tidak terjejas banjir akan menghantar 100 hingga 200 anggota untuk menyertai skuad pembersihan tersebut.

Malah, katanya beliau sen-diri akan menyelaras skuad pembersihan di Kelantan berikutan ada beberapa kawasan di negeri itu yang sebelum ini teruk terjejas dengan banjir, telahpun surut.

Khairy berkata Pemuda UMNO sebelum ini juga telah menubuhkan Tabung Banjir Move dengan menggerakkan bantuan ke negeri-negeri terjejas banjir seperti Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam masa yang sama beliau turut menafikan dakwaan kononnya Pemuda UMNO tidak kelihatan turun padang untuk membantu mangsa banjir.

“Jika lihat laman sosial Pemuda, kami sentiasa berada di lapangan, membantu menggunakan helikopter dan bot, banyak gambar-gambar menjadi bukti dan soal itu tidak timbul,” katanya.

Beliau sebelum itu turut bermalam di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Paloh Hinai, Pekan. — Bernama

Advertisement