Anda di sini

Pelan pengurusan banjir Kemaman bakal jadi model SOP banjir

Advertisement

KEMAMAN: Pelan pengurusan banjir di Kemaman akan menjadi model kepada prosedur operasi standard (SOP) banjir di kawasan terjejas pada masa akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Beliau berkata pengurusan banjir di sini telah mencapai tahap pengurusan yang ditetapkan sama ada di peringkat persediaan sebelum banjir, ketika banjir dan selepas banjir.

“Pengurusan banjir daerah Kemaman menetapkan sasaran untuk mencapai tahap pengurusan banjir yang ditetapkan, satu tahap yang begitu tinggi. Saya telah diberitahu bahawa daerah Kemaman berjaya memenuhi standard yang disasarkan. Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas taklimat pengurusan banjir Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Pembandaran Kemaman di sini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Terdahulu, Najib mendengar taklimat banjir yang disampaikan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar selama 10 minit berhubung keadaan semasa banjir.

Najib mencadangkan model SOP pengurusan banjir Kemaman ini diguna pakai untuk tempat-tempat lain yang mengalami kejadian banjir selepas melihat  pengurusan banjir Kemaman yang begitu memberangsangkan.

Katanya beliau kagum dengan inisiatif Parlimen Kemaman di bawah kendalian Ahmad Shabery yang telah melakukan persiapan awal sejak April terutama berhubung aspek penambahbaikan.

“Beberapa tambahan seperti Helipad, 30 depoh pangkalan hadapan, pencawang TM telah dinaikkan supaya tak kena pada air, set generator tambahan dan juga kemudahan-kemudahan lain termasuk set beg tidur yang nampaknya menjurus kepada pentadbiran banjir yang amat berkesan.

“Saya nak cadangkan templat model Kemaman ini boleh diguna pakai untuk tempat-tempat lain,” katanya. — Bernama

Advertisement