Anda di sini

Nahas AirAsia Indonesia QZ8501 menjadi tajuk muka depan akhbar Indonesia

Advertisement

SURABAYA: Penemuan mayat, bangkai dan serpihan pesawat malang AirAsia Indonesia QZ8501 menjadi tajuk utama dan muka depan beberapa akhbar tempatan semalam.

Tinjauan Bernama mendapati berita tersebut menjadi pilihan akhbar untuk dijadikan muka depan dengan tajuk besar dan gambar berwarna-warni mengatasi berita-berita lain.

Antaranya, Jawa Post memuatkan tajuk ‘Siapkan 161 ambulans, 30 peti, 3 RS (Rumah Sakit)’ manakala Radar Surabaya melaporkan ‘Tiga Jenazah Bergandengan Tangan Terapung di Laut’.

Akhbar Memo Merandum Surabaya pula menulis ‘AirAsia Indonesia QZ8601 ditemukan hancur’, manakala Harian Pagi Surya meletakkan tajuk ‘3 Jasad Bergandengan Tangan’.

Selain berita dan gambar, akhbar tempatan turut meletakkan kronologi dan infografik berkaitan kejadian untuk memudahkan pembaca memahami apa yang telah terjadi.

Seorang penjual surat khabar yang enggan dikenali memberitahu Bernama, rata-rata akhbar tempatan habis dibeli sejak awal pagi dan hanya tinggal beberapa cetakan yang masih tinggal.

Dilapor, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penemuan beberapa serpihan pesawat itu dan mayat di Laut Jawa pada petang Selasa.

Enam mayat, termasuk seorang anak kapal masih lagi dalam proses untuk dibawa keluar oleh pasukan misi mencari dan menyelamat di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, kira-kira sejam penerbangan dari Surabaya.

Namun dilaporkan, cuaca buruk termasuk ombak setinggi tiga meter menjejaskan operasi tersebut termasuk mencari baki mayat pesawat.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Penumpang pesawat terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia danseorang warga United Kingdom.

Kru pesawat pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis. — Bernama

Advertisement