Anda di sini

529 tan barangan disalurkan ke negeri dilanda banjir

Advertisement

KAMPUNG GAJAH: Sebanyak 529 tan barangan keperluan telah disalurkan melalui Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke negeri yang dilanda banjir, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata bagi memudahkan pengagihan bekalan untuk negeri yang terlibat dengan bencana banjir, tiga pusat kecil pengumpulan bekalan diwujudkan di Tambun, Perak; Alor Setar, Kedah dan Batu Berendam, Melaka.

Katanya barangan yang dikumpulkan di TUDM  Subang akan dihantar ke pusat kecil berkenaan sebelum diagihkan.

“Ini juga untuk memudahkan orang ramai menyampaikan sumbangan (di pusat pengumpulan) kerana ramai nak bagi sumbangan tetapi tidak tahu di mana,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir di Pusat Pemindahan Banjir Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak di sini, semalam.

Beliau juga berharap ramai sukarelawan akan tampil membantu mangsa banjir terutamanya semasa pasca banjir.

“Kalau ATM  (Angkatan Tentera Malaysia) saja yang dah gerakkan 5,000 anggota, saya harap sukarelawan 10 kali ganda lah,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata setakat semalam, seramai 20,500 veteran dan bekas tentera dikenal pasti terjejas dengan banjir dan kerajaan akan  membantu meringankan beban mereka.

“Usaha kita adalah untuk membantu membaik pulih rumah mereka. Kita akan manfaatkan dana sebanyak RM6.9 juta di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan(NBOS) dan saya telah luluskan RM10 juta lagi peruntukan sedia ada bagi bantuan kepada veteran dengan kadar RM500 kepada setiap keluarga,” katanya. — Bernama

Advertisement