Anda di sini

Serpihan sah QZ8501

Advertisement

SURABAYA: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia semalam mengesahkan puing yang ditemui awal semalam adalah daripada AirAsia Indonesia QZ8501, pesawat yang terputus hubungan dengan pengawal trafik udara pada pagi 28 Disember lalu.

AirAsia Indonesia dalam kenyataannya semalam berkata, puing daripada pesawat tersebut telah ditemui di Selat Karimata, kira-kira 110 batu nautika ke tenggara Pangkalan Bun.

“Pada ketika ini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dan penyiasatan lanjut terhadap puing yang ditemui di lokasi masih lagi berlangsung.

“Kakitangan AirAsia Indonesia telah dihantar ke lokasi dan akan bekerjasama dengan BASARNAS, Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) dan pihak berkuasa yang berkenaan dalam penyiasatan,” kata kenyataan itu.

Sunu Widyatmoko, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia berkata: “Kami berada di sini pada hari ini (semalam) dengan perasaan yang sedih disebabkan keadaan yang tragis ini.

“Kami dengan ikhlas ingin menghulurkan simpati kepada keluarga dan sahabat handai mereka yang berada dalam penerbangan QZ8501. Kami juga menghulurkan simpati kepada keluarga para kakitangan kami.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal AirAsia Indonesia QZ8501.

“Saya berasa amat dukacita. Ini merupakan saat yang paling sukar buat kami di AirAsia di mana kami menunggu perkembangan lanjut operasi mencari dan menyelamat, namun keutamaan kami pada masa ini adalah memastikan kesejahteraan ahli keluarga mereka yang berada dalam penerbangan QZ8501,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, AirAsia Indonesia akan menjemput ahli keluarga mangsa ke Surabaya, di mana pasukan penyedia penjagaan yang khusus akan ditugaskan kepada setiap keluarga bagi memastikan segala keperluan dipenuhi.

“Kaunselor, ahli keagamaan dan kerohanian juga telah dijemput ke pusat keluarga bagi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan.”

Pesawat tersebut merupakan sebuah Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC.

Terdapat 155 penumpang dalam penerbangan, di mana 137 adalah penumpang dewasa, 17 kanak-kanak dan 1 bayi. Turut berada dalam penerbangan adalah 2 juruterbang, 4 anak kapal dan seorang jurutera.

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan sepatutnya tiba di Singapura pada 8.20 pagi namun terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Pasukan SAR menemui banyak serpihan, mayat terapung di kawasan pencarian QZ8501.

Advertisement