Anda di sini

Semua sekolah diarah selaras tarikh mula persekolahan

Advertisement

Elak timbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mahu sekolah-sekolah di bawah pendaftaran kerajaan negeri dan agensi-agensi lain menyelaraskan tarikh permulaan sesi persekolahan bagi tahun depan agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata berikutan penangguhan permulaan sesi persekolahan selama seminggu, tarikh baharu bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah 11 Jan (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain 12 Jan (Isnin).

“Semua pengetua dan guru besar adalah diminta akur dengan keputusan ini dan tidak mengadakan apa-apa program melibatkan murid, guru dan ibu bapa seperti hari pendaftaran murid baharu termasuk taklimat dalam tempoh penangguhan tersebut kecuali operasi gotong-royong pembersihan sekolah yang terlibat banjir.

“Namun bagi sekolah-sekolah yang tidak terlibat dengan banjir, pihak pentadbiran sekolah berkenaan boleh meneruskan kerja-kerja pentadbiran biasa tanpa perlu melibatkan pihak-pihak yang disebutkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata Kementerian Pendidikan bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara, selama seminggu, berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang.

Khair berkata penangguhan tersebut melibatkan semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah swasta dan negeri yang berdaftar dengan kementerian.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat siaran kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua sekolah memaklumkan tentang penangguhan tersebut.

Sementara itu, Khair berkata penangguhan tersebut setelah mengambil kira semua keadaan dan kesukaran semua pihak akibat bencana banjir termasuk pasukan keselamatan, pegawai dan kakitangan daripada agensi kerajaan lain yang bertungkus lumus melaksanakan operasi bantuan banjir.

“Kementerian Pendidikan juga ingin menjelaskan bahawa penangguhan ini tidak mengganggu sistem persekolahan bagi tahun depan termasuk bilangan hari persekolahan seperti yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya 190 hari setahun,” katanya. — Bernama

Advertisement