Anda di sini

QZ8501: Lebih banyak kapal, pesawat sertai operasi SAR

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih banyak kapal dan pesawat menyertai gerakan mencari pesawat AirAsia Penerbangan QZ8501 pada hari ketiga kehilangannya semalam.

Kedutaan Amerika di Malaysia melalui akaun Twitternya berkata Angkatan Laut Ketujuh Amerika menghantar kapal USS Sampson, yang kini dalam pelayaran, untuk memberi sokongan kepada operasi mencari pesawat berkenaan.

Setiausaha Akhbar Pentagon Laksamana Muda John Kirby mengesahkan perkara itu melalui akaun Twitternya.

Kapal itu dijangka tiba di tempat pencarian lewat semalam.

Sementara itu, AFP melaporkan Korea Selatan menghantar sebuah pesawat peninjau P-3, manakala China pula menghantar sebuah kapal frigat dan sebuah pesawat tentera untuk membantu misi mencari itu.

Setakat ini, Australia, Singapura dan Malaysia telah menghantar aset mereka untuk menyertai Indonesia mencari pesawat berkenaan.

Kementerian Pengangkutan Indonesia dalam kenyataan melalui laman sesawangnya semalam berkata, kini 14 pesawat terlibat dalam gerakan mencari pesawat itu, termasuk masing-masing empat dari Tentera Laut dan Tentera Udara Indonesia, sebuah dari kementerian itu, dua dari Australia, sebuah dari Malaysia dan dua dari Singapura.

Selain pesawat, 44 kapal juga terlibat, termasuk tiga dari Singapura dan sebuah dari Indonesia.

Kenyataan itu berkata gerakan mencari semalam, yang diperluas kepada 13 sektor berbanding tujuh kelmarin, turut melibatkan 16 helikopter, termasuk dari Tentera Udara Indonesia, Tentera Laut Indonesia, Polis Indonesia, Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia serta dibantu Singapura.

Penerbangan QZ8501, yang menggunakan pesawat Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia pada jam 5.20 pagi Ahad dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang  Changi, Singapura pada jam 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat iu menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara ialah pada jam 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia). — Bernama

Advertisement