Anda di sini

Mydin-PKOB sasar RM1 juta sumbangan bantu mangsa banjir

Advertisement

SUBANG JAYA: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), syarikat tempatan terbesar terlibat dalam perniagaan borong dan runcit, dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyasarkan kutipan RM1 juta untuk tabung kemanusiaan bencana banjir yang dilancarkan semalam.

Presiden PKOB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata kempen kemanusiaan itu bertemakan ‘ringgit for ringgit’ dan tabung-tabung kutipan akan ditempatkan di pintu utama di setiap 110 cawangan Mydin di seluruh negara sehingga kutipan mencecah RM500,000.

“’Ringgit for ringgit’ merupakan inisiatif Mydin di mana setiap ringgit yang disumbangkan akan digandakan. Misalnya, jika kutipan itu RM500,000, Mydin akan menggandakan nilai tersebut.

“Wang itu akan digunakan untuk membeli barang keperluan seperti makanan, air mineral, ubat-ubatan dan sabun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi tabung kemanusiaan bencana banjir Mydin-PKOB di Mydin Mall di sini, semalam.

Beliau berkata fokus utama tabung itu adalah untuk membantu mangsa banjir di Kelantan tetapi jika terdapat lebihan ia berkemungkinan disumbang kepada negeri-negeri lain yang turut dilanda banjir.

“Kelantan sekarang ini bukan sahaja banjir malah mengalami malapetaka di mana keseluruhan kawasan mengalami kemusnahan, jadi tumpuan kita adalah membantu rakyat negeri ini terlebih dahulu.

“Buat masa ini, kita amat memerlukan sumbangan wang kerana ia dapat membeli barangan keperluan mangsa banjir, tetapi jika terdapat sumbangan lain seperti pakaian, kita masih lagi menerimanya,” katanya.

Sheikh Ahmad Dusuki juga merayu orang ramai yang mempunyai kenderaan seperti lori atau kereta pacuan empat roda supaya turut membantu menyediakan pengangkutan bagi memudahkan penghantaran barangan sumbangan itu nanti.

Terdahulu, PKOB menerima sumbangan RM80,000 daripada Bank Rakyat untuk membantu mangsa banjir di negeri itu.

Sementara itu di Kelantan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Nik Omar Nik Abdul Rahman melaporkan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat sedikit kepada 142,582 orang pagi semalam berbanding 142,564 orang malam kelmarin.

Semua mangsa ditempatkan di 317 pusat pemindahan melibatkan 35,894 keluarga. — Bernama

Advertisement