Anda di sini

MOA salur bantuan makanan RM1j kepada mangsa

Advertisement

DENGKIL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan agensinya menyalurkan bekalan bantuan makanan berjumlah hampir RM1 juta kepada mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Terenggannu dan Perak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu, Datuk Raihan Sharif berkata MOA ditugaskan membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa di pusat pemindahan melalui kerjasama Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS).

Beliau berkata Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Dengkil di Daerah Sepang, telah dijadikan pusat pengumpulan barangan keperluan dan bekalan makanan sebelum diedarkan kepada mangsa.

“Pusat ini beroperasi hampir 24 jam sejak pada 26 Dis. Semua jabatan dan agensi di bawah MOA menggembleng tenaga dalam usaha mengumpul dan mengedarkan bekalan bantuan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan banjir.

“Dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kita menghantar 12 hingga 16 tan metrik bekalan setiap hari. Selain itu, kita juga bekerjaama dengan Malindo Air bagi penghantaran bekalan barangan, iaitu 1.5 tan setiap hari,” katanya kepada Bernama di Pusat Operasi Fama Dengkil semalam.

Raihan menambah lori agensi di bawah MOA turut digerakkan untuk menghantar bekalan barangan ke pusat pemindahan yang boleh dihubungi melalui laluan darat.

“Pengagihan bekalan makanan adalah mengikut permintaan di pusat-pusat pemindahan banjir di negeri-negeri yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata bekalan bantuan makanan yang disalurkan termasuk beras, air mineral, biskut barangan segar seperti kobis, bawang dan sayur-sayuran serta produk makanan proses hasil FAMA.

Tinjauan Bernama di Pusat Operasi FAMA Dengkil mendapati hampir 100 sukarelawan bertungkus lumus memunggah dan membungkus bekalan makanan dan barangan yang akan dihantar ke Pangkalan TUDM, Subang.

Sementara itu, Raihan juga menyaran syarikat pembekal swasta agar tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Sambil memberi contoh, beliau berkata syarikat roti Gardenia telah menghantar 10,000 buku roti untuk diagihkan kepada mangsa.

“Syarikat yang berminat boleh menghantar barangan dan bekalan ke pusat pengumpulan di Dengkil sebelum ia dibungkuskan dan dihantar pusat-pusat pemindahan banjir melalui laluan darat atau udara,” katanya. — Bernama

Advertisement