Anda di sini

Hasrat abang pindahkan adik hamil tidak kesampaian

Advertisement

Mangsa, anak berusia setahun maut akibat tanah runtuh

MELAWAT KELUARGA MANGSA: G.Palanivel (tengah) yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands mengucapkan takziah kepada kaum keluarga mangsa M. Nithiyawaty dan anaknya R. Rubeniswaran yang maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Km 46 Tringkap-Brinchang semasa melawat keluarga mangsa di rumah mayat Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata di Cameron Highland, semalam. — Gambar Bernama

CAMERON HIGHLANDS: Hasrat seorang abang untuk memindahkan adik perempuannya ke sebuah rumah yang lebih selesa tidak kesampaian apabila wanita sarat mengandung itu maut dalam kejadian tanah runtuh di Tringkap, di sini awal pagi semalam.

M.Chandran, 43, yang menahan sebak atas kehilangan M.Nitiahwaty, 24, dan anak saudaranya R. Rubeniswaran berusia setahun dalam tragedi itu, melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat berkenaan.

“Saya ingat nak pindahkan keluarga mereka ke rumah yang lebih selesa dan besar sikit, nampaknya memang tak sempat,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini.

Wanita hamil berkenaan dan anak lelakinya maut selepas rumah papan berbumbung zink mereka dihempap tanah runtuh manakala suaminya V. Raja, 41, selamat, walaupun tertimbus daripada bahagian kaki hingga paras dada dalam kejadian di Kilometer 46, Jalan Tringkap-Brinchang di sini, pada jam 5.30 pagi.

Beliau berkata Nitiahwaty pernah mengadu rasa tidak selesa tinggal di rumah yang terlalu kecil, kira-kira berkeluasan 4 meter x 4 meter, selain rumah itu tidak sesuai untuk anaknya.

Adik perempuan itu bagaimanapun tidak pernah menceritakan hal kandungannya yang berusia lapan bulan termasuk jantina bayi, katanya.

“Dia akan bersalin bulan depan, saya rasa kehilangan. Saya sendiri yang kahwinkan adik perempuan saya dengan suaminya,” katanya.

Chandran berkata jenazah adik dan anak saudaranya itu akan diuruskan beliau dengan khidmat Rumah Berhala Sri Subramaniar di sini dan abunya akan disemadikan di Kuala Terla, berhampiran rumahnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel yang juga anggota Parlimen Cameron Highlands turut menziarahi Raja yang menerima rawatan di wad hospital berkenaan selain berjumpa anggota keluarga.

Sementara itu C.Vijayan, 33, yang merupakan majikan kepada Raja berkata berkata beliau terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat dari arah belakang bengkelnya sebelum bergegas mengejutkan keluarga untuk melarikan diri menggunakan pintu utama di hadapan premis itu.

“Saya dengar bunyi seolah-olah sesuatu yang pecah. Memang belakang premis saya ini ada kawasan bukit. Bila keluar, saya terdengar pekerja saya menjerit dari rumahnya yang terletak di bahagian belakang di rumah kedai bernombor sembilan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau kemudian katanya bergegas ke tempat itu dan bertindak memecahkan pintu kedai yang telah musnah akibat dihempap tanah runtuh untuk menyelamatkan Raja.

“Saya tengok Raja telah tertimbus sehingga ke dada, dia tak dapat bergerak, isteri dan anaknya sudah tertimbus dalam runtuhan tanah berhampiran kaki dia. Saya terus hubungi bomba,” katanya.

Beliau berkata Raja telah 10 bulan bekerja di bengkel kereta milik di lot bernombor lima yang dibuka dua tahun lepas, dan mangsa tinggal bersama-sama isteri dan seorang anak di kediaman yang dibinanya di bahagian belakang deretan rumah kedai tersebut.

“Saya sedar bengkel saya ini beroperasi secara haram, kerana sejak dua tahun lepas saya mohon lesen perniagaan tetapi tiada maklum balas dari pihak berkenaan. Selain itu, bagaimana pula dengan lot-lot kedai ini yang mereka dakwa haram, tetapi ada bekalan elektrik,” katanya yang menyewa lot kedai itu dengan sewa RM1,100 sebulan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Cameron Highlands Yusry Abdullah Sani berkata kawasan kejadian menempatkan 12 lot kedai dan kerja-kerja menyelamat terpaksa dijalankan secara manual termasuk menggunakan gergaji besi berantai kerana terdapat tiga mangsa dalam timbusan tanah itu.

“Raja ditemui dengan keadaan tertimbus dan kakinya juga tersepit besi, beliau hidup namun berada dalam keadaan sangat lemah, di bawah badan lelaki itu, kami temui anak dan isterinya, yang sudah tidak bernyawa. Kesemua mangsa tertimbus sedalam satu meter,” katanya. — Bernama

Advertisement