Anda di sini

Muhyiddin mahu peniaga bertimbang rasa

Advertisement

DUNGUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peningkatan harga barang yang mendadak di Kelantan adalah di luar kawalan kerajaan sambil meminta para peniaga bertimbang rasa dalam berdepan situasi sukar ketika ini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berharap rakyat memahami keadaan itu memandangkan kerajaan sedang cuba mengatasinya secepat mungkin.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kerajaan telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memastikan bekalan barang keperluan asas yang penting seperti beras, tepung, gula dan minyak masak perlu ditambah.

“Kita (kerajaan) sudah minta mereka (KPDNKK) meneliti dan memperhalusi kalau nak bekalkan sekarang mereka kena pastikan bekalan itu sampai.

“Tapi kita kena sedar bahawa kawasan-kawasan itu masih lagi ditenggelami air dan banyak halangan untuk pembekal menghantar barangan,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu kenaikan harga barang yang tidak terkawal di Kelantan.

Terdahulu laman sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp hangat memperkatakan harga barangan di Kelantan melonjak naik dengan harga petrol seliter berharga RM15, ayam seekor serendah RM38, sepeket mi segera RM10 serta air mineral 1.5 liter RM8 berikutan permintaan barangan makanan yang terlalu tinggi.

Muhyiddin berkata jika pembekal hendak menghantar bekalan seperti gas (ke kedai runcit), lori tangki membawa petrol ke stesen minyak pun mengalami kesukaran kerana kenderaan tidak boleh bergerak ketika banjir, maka mereka perlu menunggu sehingga keadaan banjir menjadi surut.

“Tapi apa-apa pun keperluan tertentu negeri, kita sudah minta jawatankuasa negeri melaporkan keperluan yang boleh disampaikan. Jika tidak ada halangan dari segi kemudahan dan infrastruktur, kita akan hantarkan kalau keadaan membenarkan, kalau tidak kenalah tunggu banjir surut dulu,” katanya.

Menurutnya situasi seperti peningkatan harga barang adalah normal ketika musim banjir, namun kerajaan tidak boleh mengawalnya berikutan ia berlaku disebabkan banjir luar biasa.

“Isu harga barangan ini adalah perkara biasa kerana pengangkutan terhalang, proses pembekalan yang dahulunya mudah dah jadi susah, kos meningkat. Contohnya ada bekalan sayur dari Cameron Highlands tetapi tidak boleh sampai (ke kawasan tertentu akibat banjir) takkanlah nak hantar menggunakan pengangkutan udara, kosnya pasti mahal.

“Jadi mana yang sampai itu, mereka (peniaga) terpaksa jual dengan harga yang tinggi,” katanya. — Bernama

Advertisement