Anda di sini

Lebih 1,200 penyakit berjangkit dikesan dalam tempoh enam hari

Advertisement

KUANTAN: Sebanyak 1,220 kes penyakit berjangkit telah dikesan daripada 4,073 mangsa banjir yang menjalani pemeriksaan kesihatan di Pahang dalam tempoh enam hari sehingga kelmarin.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Zainal Ariffin Omar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, daripada jumlah itu hanya 28 kes penyakit berjangkit yang tersenarai di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya ia melibatkan satu kes demam denggi manakala selebihnya melibatkan penyakit berjangkit ringan seperti penyakit kulit dan mata.

Beliau berkata 27 kes keracunan makanan turut dilaporkan iaitu di dua buah pusat pemindahan di Wisma Belia di sini yang dikesan berlaku pada 25 Disember melibatkan 14 orang yang disyaki berpunca daripada makan bubur nasi yang disumbangkan oleh orang perseorangan.

Manakala kejadian kedua berlaku di pusat pemindahan banjir Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) yang melibatkan 13 kes yang disyaki berpunca daripada meminum air yang juga disumbang oleh orang perseorangan.

Daripada 4,073 mangsa banjir yang telah diperiksa itu, sebanyak 1,645 penyakit tidak berjangkit seperti sakit lutut, penyakit kencing manis dan asma juga telah dikesan selain 57 kes kecederaan dan 614 bagi lain-lain kes.

Menurutnya, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan mangsa tentang risiko penyakit berkaitan banjir, beberapa aktiviti pendidikan kesihatan telah dijalankan di kawasan terlibat dengan banjir dan pusat pemindahan.

Sebanyak 9,945 aktiviti pendidikan kesihatan telah dijalankan setakat ini yang meliputi ceramah, perbincangan kumpulan, tunjuk cara, pegumuman awam, hebahan radio dan gotong-royong.

Selain itu, sebanyak 6,626 bahan pendidikan kesihatan berkaitan banjir seperti risalah, poster, bunting dan banner telah diedar dan dipasang. — Bernama

Advertisement