Anda di sini

Inisiatif baharu diperkenal untuk beri ruang privasi

Advertisement

PUTRAJAYA: Beberapa inisiatif baharu diperkenalkan kerajaan pada tahun ini bagi mempertingkatkan keupayaan dalam mengurus dan mengendalikan bencana dari segi penyediaan ruang privasi kepada mangsa banjir.

Inisiatif tersebut termasuk mewujudkan pembahagi boleh lipat, khemah boleh lipat dan tikar fom, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan di sini semalam.

“Antara ciri inovasi pembahagi boleh lipat ialah ia boleh dijadikan sebagai pemisah atau boleh disambungkan untuk dijadikan bilik atau kiub dengan menggunakan fungsi cangkuk dan stopper.

“Selain itu, pembahagi tersebut boleh disusun dan diatur mengikut ruang yang ditetapkan untuk ruang tidur, solat, bilik persalinan dan rawatan,” jelasnya.

Sehingga kini jumlah pembahagi yang telah diagihkan ialah 2,128 buah manakala khemah boleh lipat dan tikar masing-masing telah diagihkan sebanyak 4,000 buah dan 3,000 keping.

Katanya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kementerian tersebut telah bertindak pantas dalam membantu mangsa banjir yang melibatkan enam buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Johor.

Namun, jelasnya antara masalah yang dihadapi di pusat pemindahan dan mangsa ialah ketiadaan bekalan air dan elektrik, perhubungan jalan terputus dan seterusnya menjejaskan proses penghantaran bekalan makanan kepada mangsa-mangsa di pusat-pusat pemindahan.

“Walau bagaimanapun bagi mengatasi masalah ini, Majlis Keselamatan Negara telah menyewa trak-trak bagi tujuan penghantaran makanan, penyediaan tandas bergerak dan bekalan generator.

Manakala JKM pula, bersama-sama dengan jawatankuasa kecil di pusat pemindahan, pemimpin tempatan dan sukarelawan sentiasa membuat proses pendaftaran mangsa banjir, serta menyediakan keperluan asas yang lain, katanya Kementerian turut memaklumkan seramai 517 sukarelawan kebajikan dari seluruh negara telah dikumpulkan untuk membantu pegawai-pegawai JKM bertugas di pusat-pusat pemindahan banjir.

Sehingga semalam, seramai 74 orang Pegawai Psikologi JKM terlibat dalam misi pengendalian intervensi krisis kepada mangsa banjir (dewasa dan kanak-kanak) melibatkan aktiviti psikoterapi, psikopendidikan, bimbingan dan sokongan psikologikal di pusat-pusat pemindahan yang boleh diakses setakat ini.

KPWKM menyeru individu, NGO dan Badan Korporat untuk menyalurkan sumbangan ke Tabung Amanah KPWKM bagi membantu keperluan mangsa banjir melalui akaun Maybank, 564016600603.

Sumbangan juga boleh diberikan melalui cek atas nama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau nama ringkas ‘KSU KEM.PEMB. WANITA, K’RGA &MASY’, katanya. — Bernama

Advertisement