Anda di sini

Mangsa banjir mula kemas rumah ekoran cuaca semakin baik

Advertisement

MULA MENGEMAS: Rahmah membersihkan rumahnya rumahnya berikutan banjir yang semakin surut ketika tinjauan fotoBernama di Kuantan, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Cuaca baik sejak kelmarin di bandar ini membolehkan mangsa banjir sekitar kawasan Kampung Razali dekat sini, pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman mereka yang dinaiki air baru-baru ini.

Seorang penduduk, Mariam Jusoh, 45, berkata memandangkan cuaca semakin baik dan hujan sudah mulai berhenti pagi semalam, beliau bersama anak-anak mengambil keputusan untuk balik ke rumah berkemas.

“Sedih tengok barang banyak rosak tetapi kami reda dengan ujian ini.

“Harap-harap hujan berhenti dan air tak naik lagi selepas ini. Bagaimanapun kami bersedia jika air kembali naik dan terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohd Aris Abdullah, 45, berkata walaupun rumahnya dinaiki air, dia bersyukur kerana banjir pada tahun ini tidak seteruk tahun lepas.

“Banjir memang kerap berlaku di kawasan ini tetapi kali ini paling rendah hanya setinggi semeter setengah berbanding tahun lepas sehingga mencecah tiga meter,” katanya.

Rahmah Ngah, 61, berkata dia dan keluarganya yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Indera Mahkota juga mengambil keputusan pulang ke rumah untuk mengemas.

“Mujur saya sudah buat sedikit persiapan kerana sudah berpengalaman berdepan banjir tahun lepas, namun hanya dokumen penting sempat diselamatkan, barangan elektrik seperti televisyen dan peti ais terpaksa dibiarkan,” kata suri rumah itu.

Seorang pemilik kedai runcit di kawasan berkenaan, Che Zainun Che Mat, 58, turut pulang meninjau barangan jualan di kedainya yang kebanyakannya rosak ditenggelami air.

“Barang basah seperti sayur habis busuk manakala barang runcit turut terjejas kerana terkena air. Saya terpaksa memilih barang runcit yang elok dan boleh diselamatkan sahaja untuk dijual,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar banjir tidak lagi berlaku di sini kerana bimbang terpaksa menanggung kerugian berlipat ganda. — Bernama

Advertisement