Anda di sini

Lambakan kayu balak punca terputus hubungan darat

Advertisement

DUNGUN: Lambakan kayu balak merintangi laluan utama di Kampung Rantau Panjang menghala Bukit Besi dekat sini, menyebabkan lebih 1,000 penduduk di beberapa buah kampung di kawasan berkenaan terputus hubungan darat sejak empat hari lepas.

Tinjauan Bernama semalam mendapati ratusan kayu balak bertaburan di atas jalan raya sejauh kira-kira 100 meter, menyebabkan penduduk terperangkap sehingga terpaksa menggunakan bantuan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi operasi menghantar bekalan makanan.

Lebih membimbangkan, penduduk di sana juga terputus hubungan telekomunikasi dan bekalan elektrik berikutan banjir yang turut melanda kawasan kampung itu ekoran limpahan air sungai dari Sungai Dungun di Kuala Jengai.

Mangsa, Nik Mohd Faizal Nik Mohd Fikri, 32, yang bertugas sebagai anggota tentera di Port Dickson, berkata timbunan balak tersebut adalah dari satu lokasi simpanan kayu balak di atas sebuah bukit.

“Disebabkan hujan lebat tidak berhenti yang sudah lebih seminggu, kayu-kayu balak yang disimpan di atas bukit itu menggelongsor jatuh hingga berselerak di jalan utama,” katanya ketika ditemui Bernama yang berada di lokasi berkenaan semalam.

Berikutan kejadian itu, beliau yang pulang ke kampung sejak seminggu lepas terpaksa menangguhkan perjalanan pulang ke tempat kerja, selain tidak dapat membuat panggilan bagi memaklumkan keadaannya.

“Sudahlah kawasan kampung kami banjir, semua penduduk di sini juga risau kerana jika hujan berterusan, kayu balak yang sebesar empat hingga lima pemeluk itu akan menggelongsor jatuh lebih banyak dari tempat simpanannya dan merempuh rumah,” katanya.

Ekoran terputus hubungan darat, mangsa yang dipindahkan sejak seminggu lepas di Sekolah Menengah Kuala Jengai, kini berdepan masalah apabila terpaksa mencatu makanan sejak tiga hari lepas.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion ke-18 Rajimen Askar Melayu Diraja, Kuala Terengganu Leftenan Kolonel Mohd Tahir Symon yang turut bersama meninjau di lokasi berkenaan berkata jentera berat diperlukan bagi mengalih kesemua kayu balak tersebut.

“Laluan ini kita akan bersihkan secepat mungkin kerana ia menyukarkan pergerakan dan pasukan penyelamat juga sukar menghantar bekalan makanan,” katanya. — Bernama

Advertisement