Anda di sini

Azhar muncul juara kategori terbuka Saribas Mountain Bike XC Challenge

Advertisement

DEBAK: Mohamad Azhar Bujang yang mewakili SONAMU Cycling Club muncul juara kategori terbuka pada saingan sejauh 40 kilometer Kejohanan Saribas Mountain Bike XC Challenge 2014 di pekan Debak di sini, barubaru ini.

Kedudukan kedua pula berpihak kepada Syamsul Ali Hamdan dari SAXON Cycling Club dan tempat ketiga Sylverter dari Cor Busier Cycling Club.

Sementara itu, juara kategori Mountain Bike (Veteran) 20 kilometer pula disandang oleh Supian Nor dari Cor Busier Cycling Club dan mengekori tempat kedua ialah Chung Yun Tang dari Promenade Cycling Club manakala tempat ketiga disandang oleh Ikwandy En dari SAXON Cycling Club.

Kategori Mountain Bike (Junior) bawah 18 tahun sejauh 20 kilometer pula didominasi oleh Wan Haikal Wan Zainal dari SONAMU Cycling Club juara, kedua juga dari SONAMU Cycling Club, Abang Muhamad Azri Abang Merzuki dan ketiga disandang Haziq Al Fayyean, Cor Busier Cycling Club.

Kejohanan yang julung kalinya dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Laserlight Debak itu menarik penyertaan beberapa pelumba handalan dari pasukan Kuching, Kota Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Betong, Sibu, Spaoh dan Debak selain pelumbapelumba dari kelab berbasikal tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan untuk mendedahkan pelumba basikal tempatan dengan pertandingan yang mencabar dari segi fizikal dan mental sekali gus untuk menimba pengalaman dalam saingan dengan para pelumba berpengalaman dari Kuching, Bintulu, Kota Samarahan dan Sibu.

“Sebagai salah satu sukan yang mula mendapat perhatian di kawasan Saribas, kejohanan ini telah berjaya menarik minat para belia untuk menyertainya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kami juga ingin menggalakkan belia melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih berfaedah sekali gus berharap kejohanan itu dapat diteruskan lagi di masa hadapan untuk mengenal pasti pelumba basikal berpotensi diketengahkan pada kejohanan besar.

Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Mohamad Razi Sitam dan Pengerusi Saribas Mountain Bike XC Challenge 2014, Saiful Hanizam Suhaini.

Advertisement