Anda di sini

SBA adakan dialog tidak lama lagi

Advertisement

KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) akan mengadakan dialog tidak lama lagi seperti yang diminta oleh beberapa jurulatih dan ibu bapa kepada pemain-pemain muda demi mengatasi rungutan yang telah disuarakan melalui suratkhabar tempatan sebelum ini.

Ini telah diumumkan oleh Setiausaha Kehormat SBA, Abdul Hadi Abdul Kadir melalui satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan kepada media tempatan semalam.

“Seperti yang dijanjikan, kami akan menganjurkan dialog itu sebaik sahaja semua ahli exco kembali dari cuti perayaan mereka dan kita berharap pihak-pihak berkenaan supaya bersabar sementara menunggu tarikh dan tempat yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini beliau melahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat menganjurkan dialog tersebut secepat mungkin kerana sebahagian besar daripada pihak atasan SBA termasuk dirinya sendiri telah mengambil peluang sempena cuti sekolah untuk menghadiri komitmen perjalanan keluarga.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap pihakpihak yang berkenaan kerana sekali lagi memilih untuk menyuarakan kekecewaan mereka melalui media tempatan mengenai kegagalan SBA menghantar wakil dari Sarawak dalam kejohanan badminton remaja kebangsaan.

Tegasnya, SBA tetap mempertahankan pendiriannya dalam memberi keutamaan dalam menganjurkan kejohanan badminton antarabangsa untuk mempromosikan Sarawak sebagai tuan rumah yang berprestij.

Menurut beliau lagi, SBA telah diberi kepercayaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi tuan rumah dua acara bertaraf dunia utama iaitu Cabaran Antarabangsa Maybank Malaysia Kuching pada bulan November lalu dan kejohanan Yonex Sunrise Malaysia Grand Prix Gold 2015 pada 13-18 Januari tahun depan.

“Tujuan utama kami dalam menganjurkan kedua- dua kejohanan peringkat antarabangsa ke Sarawak adalah untuk memberi pendedahan kepada kita dalam menjadi tuan rumah dan untuk mendedahkan peserta tempatan untuk kejohanan peringkat yang lebih tinggi,” seru beliau.

Melalui usaha SBA, Sarawak kini berada di peta dunia badminton dan telah memperoleh pengiktirafan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) – badan badminton dunia serta dari Badminton Asia Confederation (BAC).

“SBA masih mempertahankan keperluan untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa dari semasa ke semasa dalam usaha untuk membawa nama-nama besar untuk kepentingan kita bersama,” kata Hadi.

Beliau menambah bahawa SBA sedang mengatur strategi untuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangannya dan ia ingin meraih sokongan daripada ahli-ahlinya di samping menangani kelemahan sedia ada.

“SBA ingin memohon maaf atas kekurangan dan kami akan mengambil langkah- langkah yang serius untuk mengurangkan keadaan ini,” tambah beliau.

Sementara itu, pemain badminton nombor satu Indonesia, Tommy Sugiarto antara pemain dunia yang bakal bersaing di kejohanan Yonex Sunrise Malaysia Grand Prix Gold 2015 yang akan diadakan di Stadium Tertutup Negeri, Petra Jaya pada 13-18 Januari 2015.

Tommy yang menduduki ranking ke-9 dunia akan diiringi pemain badminton utama India, Srikanth Kidambi yang juga pemain nombor empat dunia yang juga juara Terbuka China Siri Super Premier 2014 selepas menewaskan jaguh dari China, Lin Dan.

Johan Cabaran Antarabangsa Kuching Maybank Malaysia tahun ini, Lee Hyun Il dari Korea Selatan termasuk pemain utama dari Indonesia iaitu Simon Santoso dan Sonny Dwi Kunchoro akan juga bersaing dalam acara enam hari itu.

Advertisement