Anda di sini

KHYO aktif anjur aktiviti sukan

Advertisement

KUCHING: Organisasi Belia Hindu Kuching (KHYO) menganjurkan pelbagai pertandingan sukan seperti bola jaring, futsal, badminton dan boling bermula pertengahan Disember lepas.

Presidennya Kannan Munaidi berkata, pertandingan tersebut diadakan adalah untuk menggalakkan penglibatan belia dalam sukan dan mengukuhkan hubungan.

“Ini adalah kali pertama kita menganjurkan aktiviti seperti ini dan sambutan amat menggalakkan.

“Kita berharap dapat menganjurkan aktiviti seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Kannan berkata, pihaknya turut menjemput peserta dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Semenanjung Malaysia.

Mengenai pertandingan badminton yang akan berakhir 28 Disember (hari ini) katanya, ia dibahagikan kepada beberapa kategori merangkumi lelaki dan wanita terbuka serta bawah 18 tahun.

“Sebanyak 160 perlawanan berlangsung melibatkan perseorangan, bergu, bergu campuran, separuh akhir dan akhir,” ujarnya.

Kannan menjelaskan, pertandingan bola jaring pula telah diadakan pada 13 dan 14 Disember manakala futsal (21 Disember) sementara boling pada 1 Januari.

“Aktiviti yang kita anjurkan bukan sahaja untuk belia India tetapi masyarakat berbilang kaum.

“Ini kerana kita mahu mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” jelasnya.

Advertisement