Anda di sini

Regata Samarahan 2014 bakal menyajikan aksi menarik

Advertisement

KUCHING: Peminat sukan air diajak memenuhi Tebingan Tanjung Bundong bagi menyaksikan Regata Samarahan 2014 yang memulakan saingan hari ini dan berakhir esok.

Acara yang merupakan sebahagian daripada Festival Batang Samarahan 2014 itu dianjurkan oleh Zalix Resources, Zalix Even Management dan Pejabat Daerah Samarahan.

Beberapa kategori perlumbaan perahu dipertandingkan antaranya acara 7 pekayuh, 15 pekayuh, 20 pekayuh serta acara kemuncak 30 pekayuh bagi merebut gelaran berprestij ‘Raja Sungai.

’ Festival air selama dua hari itu bakal menyaksikan saingan menarik dari beberapa pasukan perahu lumba ternama di sini seperti Cahaya Zen, Sinaran Ratu Balkis, Puteri Dang Balai, Puteri Berkaya, Puteri Maria, Yayasan Sarawak, Landas, Pusaka dan MPP (Majlis Perbandaran Padawan).

Pasukan lain yang dijangka turut serta termasuk Raja Laut, Jang, ADBH, Lang Buana, Cahaya Intan (Empila), Cahaya Hujan Panas (Tanjung Bundong), Sri Pakat (Tambirat), Imbok (Landeh), Sri Urai, Dewa, Sri Muara Tuang dan banyak lagi.

Selain perlumbaan regata, penduduk sekitar akan disajikan dengan acara sampingan seperti pam ski.

Sementara itu, Raja Sungai Lubok Antu, Sinaran Ratu Balkis bakal memberi tentangan sengit pada regata tersebut.

Pengurus Sinaran Ratu Balkis, Mohd Nusi Jamali berkata perahunya akan memberi saingan sengit pada regata ini bagi mengekalkan reputasi sebagai ‘raja sungai.

’ “Kami akan memberi tentangan hebat kepada perahu- perahu lain meskipun menyedari perlumbaan ini nyata sengit,” katanya ditemui di sini semalam.

Sementara itu, pengurus kejohanan Rozalix Edi Wahab berkata perahuperahu terlibat bakal bersaing dalam pelbagai acara iaitu tujuh (7) pekayuh, 15 pekayuh, 20 pekayuh dan 30 pekayuh.

Katanya, perlumbaan akan bermula jam 9 pagi ini dengan menampilkan beberapa saringan dalam pelbagai kategori.

“Selain beberapa acara lumba perahu, perlumbaan pam ski juga dilangsungkan sepanjang Regata Mini Samarahan dua hari itu,” katanya.

Menurut Rozalix, sejumlah 25 penyertaan dari Kuching, Mukah, Sarikei, Miri, Daro termasuk tuan rumah, Kota Samarahan akan bersaing pada perlumbaan pam ski.

“Hadiah lumayan berupa wang tunai dan piala kepada pemenang acara saringan serta pemenang utama acara 30 pekayuh merebut Raja Sungai Samarahan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai terutamanya peminat tegar lumba perahu dijemput datang memeriahkan temasya pesta air itu.

Advertisement