Anda di sini

Pahang siap sedia hadapi banjir lebih besar: TPM

Advertisement

Persiapan itu termasuk penambahan stok makanan dan barangan keperluan di daerah dikenal pasti

PEMINDAHAN MANGSA BANJIR: Muhyiddin (tengah) beramah mesra bersama mangsa banjir ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Stadium Sukpa di Kuantan, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Pahang telah membuat persediaan rapi untuk menghadapi banjir lebih besar berikutan paras air beberapa sungai utama di negeri ini dilaporkan telah melepasi paras bahaya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata persiapan itu termasuk dari segi penambahan stok makanan dan barangan keperluan di daerah-daerah yang telah dikenal pasti akan teruk terjejas dengan kejadian itu.

“Daerah yang telah dikenal pasti ialah Kuantan, Lipis, Maran, Jerantut dan yang mutakhir di Pekan.

“Saya diberikan taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang menyatakan dalam tempoh 62 jam selepas banjir berlaku di negeri ini, Pekan akan terjejas dengan lebih teruk dan pada masa sekarang pun telah ada mangsa yang dipindahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Kompleks Sukpa di sini semalam.

Turut serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Muhyiddin sebelum itu diberikan taklimat perkembangan terkini keadaan banjir di Pahang di Wisma Seri Pahang. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara diberikan taklimat hampir satu jam sebelum meneruskan lawatan ke Kompleks Sukpa.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, sembilan tempat bacaan paras air di sungai utama di Pahang telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis mencatatkan bacaan 65.92 meter (paras bahaya 62.00 meter);  Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut pada paras 59.32 meter (paras bahaya 52.00 meter).

Selain itu Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran 24.90 meter (paras bahaya 23.50 meter); Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran 20.27 meter (paras bahaya 19.00 meter); Sungai Kuantan di Kuantan Bypass, Kuantan 4.90 meter (paras bahaya 3.50 meter).

Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis 74.86 meter (paras bahaya 73.00 meter), Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut 77.52 meter (paras bahaya 68.00 meter), Sungai Pahang di Temerloh 35.05 meter (paras bahaya 33.00 meter) dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan 17.15 meter (paras bahaya 14.90 meter).

Dalam masa yang sama Muhyiddin juga mengarahkan persiapan banjir di Pekan dipertingkatkan dengan menghantar stok bekalan makanan dan barangan keperluan dengan segera dan dalam kuantiti lebih banyak.

“Jika biasa, bekalan untuk tiga hari, kali ini kita akan hantar untuk keperluan lima hingga tujuh hari supaya kita tidak perlu menghantar berulang  kali dan dapat mengurangkan bebanan mereka yang menghantar bekalan.

“Begitu juga dengan bekalan air bersih, kita sediakan bekalan air dalam kontena untuk diedarkan di kawasan-kawasan yang terputus bekalan,” katanya.

Muhyiddin juga menzahirkan rasa puas hati dengan keseluruhan persiapan dilakukan oleh Pahang dalam menghadapi bencana alam ini dari aspek logistik dan bantuan barangan dan makanan.

Katanya terserah kepada Adnan untuk membuat keputusan jika memerlukan pertambahan aset udara, laut mahupun darat untuk membantu misi pemindahan dan penyaluran bantuan terutama di kawasan yang terputus hubungan.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan penduduk di negeri ini terutama di kawasan yang telah dikenal pasti akan dinaiki air supaya lebih berhati-hati dan segera berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

“Apabila diarah berpindah jangan berlengah, kita beri jaminan bahawa keselamatan mereka akan terjaga dan soal kebajikan di pusat pemindahan kita sediakan sebaiknya walaupun mungkin tidak dapat layan sepenuhnya dengan keadaan darurat sebegini,” katanya. — Bernama

Advertisement