Anda di sini

Kementerian Kewangan menambah peruntukan jika banjir berlarutan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan kepada mangsa banjir jika bencana alam itu berlarutan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau memberitahu Bernama semalam, kementeriannya akan sentiasa memantau perkembangan krisis banjir yang melanda negara dan mengadakan perbincangan dengan agensi serta pihak berkaitan berhubung keperluan semasa bagi membantu mangsa banjir.

“Peruntukan akan ditambah… RM50 juta ini peruntukan awal. Kita akan menurut nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan seterusnya. Juga meneliti situasi di seluruh negara,” katanya.

Ahmad berkata peruntukan itu telahpun diagih dan disalurkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Negeri, di negeri terjejas banjir untuk pembelian segera barangan keperluan.

Kelmarin, Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM50 juta untuk negeri dilanda banjir.

Setakat jam 3 petang semalam, keadaan banjir di seluruh negara semakin kritikal dengan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis berjumlah 118,896 orang.

Di Shah Alam, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta bagi Kelantan dan masing-masing RM100,000 bagi Pahang, Terengganu serta Perak sebagai dana membantu mangsa bencana banjir.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata selain peruntukan itu, kerajaan negeri juga menyediakan dana sebanyak RM200,000 bagi misi bantuan kemanusiaan menerusi Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor.

“Untuk program pasca banjir pula, kerajaan negeri bersetuju memberi khidmat kerja-kerja pembersihan kawasan banjir dan semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini akan terlibat untuk bantuan tersebut,” katanya dalam sidang media khas di sini.

Azmin berkata sebagai bersimpati dengan bencana banjir terburuk melanda negara ketika ini, semua acara hiburan menjelang sambutan Tahun Baharu 2015 di Selangor akan dibatalkan. — Bernama

Advertisement