Anda di sini

Krismas: Moga keharmonian terus utuh, titah Raja Muda Perlis

Advertisement

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengucapkan selamat Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian di negara ini dan Perlis khususnya yang akan meraikannya hari ini, dengan berharap keharmonian antara agama dan kaum di negeri ini terus utuh.

Sementara itu, dalam titahnya, selepas program Jejak Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Padang Behor dekat sini semalam, Tuanku Syed Faizuddin turut berharap sambutan Krismas akan terus menyuburkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Menurut baginda, perpaduan kaum dan agama boleh digambarkan seumpama segenggam lidi yang tidak mampu dipatahkan dengan mudah kerana kekuatan semangat keakraban, saling membantu serta sifat bersatu padu.

“Semoga kita terus mengekalkan semangat perpaduan dan saling memahami walaupun kita datangnya daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama,” titah baginda.

Baginda juga mengingatkan hanya perpaduan yang menjadi nadi kepada keharmonian dan kemajuan negara dan negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengucapkan selamat bercuti dan beristirahat kepada rakyat dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama kaum keluarga dan orang tersayang serta turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati di jalan raya pada musim perayaan dan penghujung cuti persekolahan.

Sementara itu cuaca redup dan sesekali hujan tidak menghalang baginda mengetuai program Jejak Asnaf bertemakan ‘MAIPs Peduli’ itu dengan berbasikal bersama para pegawai kanan MAIPs bagi mengesan golongan asnaf yang layak menerima zakat.

Program itu bagi siri yang ke-87 sejak awal tahun ini bermula dan berakhir di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampung Perlis membabitkan kayuhan sejauh 15 kilometer. — Bernama

Advertisement