Anda di sini

MACIA ditubuhkan perkasakan 48,000 juruaudit dalaman koperasi: ANGKASA

Advertisement

GEORGE TOWN: Persatuan Juruaudit Dalaman Koperasi (MACIA) akan ditubuhkan untuk memperkasakan kira-kira 48,000 juruaudit dalaman di negara ini.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) adalah pemangkin kepada penubuhan itu dan pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan akan dilakukan minggu depan.

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata penubuhan MACIA adalah selari dengan Dasar Koperasi Negara (2010-2020) bagi memperkukuhkan tadbir urus koperasi serta meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada gerakan koperasi.

Dasar Koperasi Negara (2011-2020) menyasarkan supaya sektor koperasi menjadi penyumbang berkesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus pada tahun 2013 dan meningkat kepada 10 peratus menjelang tahun 2020.

“Sekarang ada 11,500 buah koperasi di seluruh negara dengan kira-kira 48,000 juruaudit dalaman. MACIA akan menyatupadukan mereka yang sekarang ini bergerak masing-masing.

“MACIA berperanan menyatukan juruaudit dalaman ini untuk berbincang peranan, hala tuju dan idea untuk penambahbaikan operasi koperasi serta menjadi platform menjadi kebajikan ahli,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan ‘Peranan Audit Dalaman ke Arah Pengukuhan Tadbir Urus Koperasi’, yang berlangsung selama tiga hari, di sini semalam.

Abdul Fattah berkata Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA Dr Mohd Azlan Yahya dipilih untuk menjadi pengerusi penaja MACIA dan menyasarkan sebanyak 1,000 koperasi akan menjadi anggota pada tahun depan.

Beliau berkata MACIA penting dalam memperkasakan institusi Jawatankuasa Audit Dalaman yang bukan sahaja menjaga kewangan koperasi tetapi berperanan sebagai perunding dalaman bagi menyelesaikan masalah koperasi dalam memastikan operasi berjalan lancar.

“Di negara kita, gerakan koperasi berkembang pesat dan menjangkakan 11,500 koperasi bertambah kepada 16,000 menjelang 2020. MACIA penting kerana sebanyak lapan juta ahli koperasi sentiasa ingin mengetahui pengurusan koperasi danpelaburan mereka diurus dengan baik,” katanya. — Bernama

Advertisement