Anda di sini

Jangan guna politik cetuskan ketegangan kaum, agama: Shahrizat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan anggota mana-mana badan atau pertubuhan diminta tidak menggunakan politik untuk mencetuskan ketegangan kaum atau agama di negara ini, kata Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara berkata tindakan seumpama itu akan mencemar imej pertubuhan dan mencetus suasana tidak selesa dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di negara ini.

“Kita (Wanita UMNO) tidak pernah bersetuju dengan mana-mana jua badan atau pertubuhan, apa sahaja bangsa mereka, agama mereka, menggunakan politik dan agama untuk melakukan kekacauan dalam negara berbilang kaum ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Krismas di Rumah Kebajikan Charis di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan sebuah parti pembangkang bahawa anggota sebuah pertubuhan telah bertindak menanggalkan kain rentang Krismas di ibu pejabat sebuah parti pembangkang di Ipoh, Perak Jumaat lalu.

Bagaimanapun Shahrizat berkata perkara tersebut perlu disiasat terlebih dahulu sama ada ia benar-benar dilakukan oleh pihak yang didakwa.

“Walaupun berbilang kaum, kita mesti hidup bersatu padu, kita perlu mencari kekuatan dan jangan biar kelainan memecahbelahkan kita,” katanya.

Pada majlis itu, yaysan itu bersama-sama rakan korporat UMW Toyotsu Cawangan Shah Alam menyalurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan sekolah serta persiapan Krismas untuk penghuni rumah berkenaan.

Rumah Charis yang ditubuhkan lebih 10 tahun lalu kini mempunyai penghuni terdiri daripada 18 warga tua dan 30 kanak-kanak. — Bernama

Advertisement