Anda di sini

703 PATI Indonesia dihantar pulang mulai semalam

Advertisement

PETALING JAYA: Sebanyak 703 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka secara berperingkat mulai semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata daripada jumlah itu, sebanyak 494 pati akan pulang ke Indonesia hari ini (semalam) melalui lima pesawat C-130 Hercules milik kerajaan negara itu.

Baki 209 PATI akan dihantar pulang esok (hari ini) dengan dua pesawat jenis yang sama.

Beliau berkata, mereka yang dihantar pulang hari ini (semalam) terdiri daripada 314 lelaki dan 180 perempuan, manakala esok (hari ini) 126 lelaki dan 83 perempuan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Inisiatif kerajaan Indonesia yang membawa keluar pati dari negara ini merupakan satu pendekatan bagus. Ini kali pertama kerajaan Indonesia menggunakan pesawat untuk menghantar pulang rakyatnya yang menetap di negara ini secara haram.

“Saya juga ingin mencadangkan kepada negara lain supaya bertindak seperti kerajaan Indonesia dalam hal PATI,” katanya kepada pemberita pada Program Penghantaran Pulang Pati Indonesia di sini, semalam.

Sakib berkata sepanjang Januari hingga Disember tahun ini, Imigresen telah menjalankan sebanyak 5,376 operasi di seluruh negara dan telah memeriksa 94,909 warga asing pelbagai negara.

Daripada jumlah itu, seramai 29,758 individu yang ditahan adalah warga Indonesia atas pelbagai kesalahan termasuk tamat tempoh permit, tiada dokumen sah dan tinggal lebih masa, katanya.

Kepada satu soalan, Sakib berkata, jika pati berkenaan ditahan atas kesalahan jenayah, maka proses penghantaran pulang mengambil masa agak lama.

“Kita bercadang untuk menghantar pulang kesemua tahanan warga Indonesia sebelum hujung tahun ini, kecuali mereka yang terbabit dalam kes jenayah,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno, berkata penghantaran PATI merupakan hasil pertemuan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Hanif Dhakiri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Katanya, kos perbelanjaan keseluruhan penghantaran ditanggung oleh kerajaan Indonesia. — Bernama

Advertisement