KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak (CNS) menyambut baik dan menyokong penuh cadangan untuk menambah baik serta mentransformasikan segera 252 skim perkhidmatan penjawat awam.
Setiausaha CNS Ahmad Malie berkata, ia bukan sahaja selaras dengan peningkatan kos sara hidup masa kini tetapi selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan negara sebagai sebuah negara maju.
“Justeru langkah menambah baik serta mentransformasikan skim penjawat awam ini sebagai salah satu faktor dan indikator untuk menyasarkan harapan sebagai sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi.
“CNS menggesa agar kerajaan di bawah kepimpinan PM dapat mempertimbangkan gesaan Datuk Azih Muda yang mewakili 1.4 juga penjawat awam di negara ini,” katanya kepada Utusan Borneo.
Selain itu Ahmad berkata gesaan itu juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Sementara itu Bernama pada 11 Disember lepas dipetik sebagai berkata, CUEPACS memohon supaya kerajaan mempercepat penambahbaikan kesemua 252 skim perkhidmatan awam bagi membantu penjawat awam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.