Anda di sini

Sebauh dijangka menjadi daerah tahun depan: Rundi

Advertisement

BINTULU: Daerah kecil Sebauh dijangka menjadi daerah tahun depan, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, daerah kecil Sebauh mengalami pembangunan pesat sejak 20 tahun lalu khususnya dalam sektor perladangan kelapa sawit berskala besar dan telah menjadi contoh pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terbaik di negeri ini.

“Pembangunan ekonomi pesat di kawasan Sebauh secara tidak langsung mempercepatkan proses transformasi di sini dalam pelbagai bidang serta industri hiliran lain,” katanya pada Majlis Makan Malam Pra-Krismas 2014 di Balai Raya Sebauh di sini.

Sambil menyifatkan Sebauh menjadi pusat ‘transit’ penduduk setempat ke bandar Bintulu, pekan Sebauh dan kawasan berdekatan, Dr Rundi berharap penduduk di kawasan ini bijak mengambil peluang khususnya dalam sektor pertanian berskala kecil dan sederhana.

Jelasnya, aktiviti ekonomi dapat dijalankan di mana-mana sahaja asalkan penduduk bijak mengusahakan tanah milik mereka dengan mempelbagaikan komoditi.

Katanya perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Kemena memudahkan penduduk kawasan Hulu Sebauh termasuk di Pandan, Tubau, Binyo dan Hulu Jelalong pergi ke bandar Bintulu serta kawasan berdekatan.

“Justeru, saya yakin daerah kecil Sebauh secara berperingkat-peringkat dimajukan bagi menjadi sebuah daerah bermula tahun depan,” jelasnya.

Apa yang paling penting kerajaan memastikan daerah kecil Sebauh bakal mempunyai bank, balai bomba, balai raya lebih besar, klinik mempunyai seorang doktor perubatan, balai polis dan banyak lagi keperluan prasarana dan infrastruktur yang memenuhi kriteria sebuah daerah.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan bayaran dividen sebanyak RM1.5 juta kepada peserta yang menyertai projek pembangunan tanah NCR kawasan Sebungan yang dimajukan DD Pelita Sebungan Plantation Sdn Bhd.

“Saya berharap lebih ramai penduduk di kawasan Sebauh yang mempunyai tanah NCR menyertai program pembangunan tanah secara usaha sama ini supaya mereka mendapat keuntungan besar,” katanya.

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebauh David Kala, Tan Sri Yee Ming Seng, Pembantu Khas Ahli Parlimen Bintulu Teo Ho Peng dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan(ADC) Tanah NCR Kawasan Sebungan Tuai Rumah Marepat Sekeran.

Advertisement