Oleh Mahathir Haroun

RASMI: Adenan merasmikan buku bertajuk ‘Two Decades of Environmental Stewardship in Sarawak’ sambil disaksikan Len dan Peter.
KUCHING: Kerajaan negeri mempertimbang pegawai penguat kuasa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dilengkapi dengan senjata api semasa bertugas.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagaimanapun berkata, pegawai penguat kuasa NREB harus menjalani latihan kepolisan yang betul.
Menurutnya, ancaman semasa bertugas turut dialami pegawai penguat kuasa NREB, sama seperti pengawal hutan Jabatan Hutan Sarawak.
“Kita akan mempertimbangkan pegawai penguat kuasa NREB dilengkapi dengan sejata api kalau ia efektif.
“Ini kerana mereka juga berdepan ancaman semasa bertugas dan saya mahu mereka diberi latihan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 NREB dan Penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Ke-6 2014 di sini, malam kelmarin.
Adenan menjelaskan, NREB turut membantu memerangi aktiviti pembalakan haram dan penyeludupan balak di negeri ini.
Aktiviti tersebut menurutnya jika tidak dibendung akan menjadikan kawasan hutan di Sarawak bertukar kepada padang pasir.
Sehubungan itu beliau yang juga pengerusi NREB menggesa orang ramai bekerjasama dalam memerangi pembalakan haram dan penyeludupan balak dengan melaporkan kepada pihak berwajib mengenai perkara itu.
“Ambil gambar dan lapor kepada pihak berwajib. Kalau pihak berwajib tidak mengambil tindakan, lapor kepada saya,” ujarnya.
Mengenai pemuliharaan alam sekitar, Adenan berkata perkara itu sepatutnya sudah dilakukan dahulu.
“Namun selepas berlaku insiden, baharulah orang ramai menyedari kepentingan menjaga alam sekitar,” jelasnya.
Sementara itu, Kontroler NREB Peter Sawal menjelaskan, sebanyak 73 syarikat menyertai CMEA 2014 berbanding hanya 39 syarikat pada 2012.
“Syarikat-syarikat ini terlibat dalam kategori industri berskala besar (30 syarikat), kategori industri sederhana (32 syarikat) dan kategori pihak berkuasa tempatan serta industri kecil (11 penyertaan),” kata Peter.
Pada majlis itu turut dilancarkan buku bertajuk ‘Two Decades of Environmental Stewardship in Sarawak’.
Hadir sama Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg.