Anda di sini

Parit banjir di Pujut Tiga dan Empat dicemari kelodak

Advertisement

MIRI: Parit banjir sepanjang laluan utama Pujut-Lutong khususnya di kawasan Pujut Tiga dan Empat dicemari kelodak dan harus segera dibersihkan untuk mengelak masalah air bertakung dan banjir kilat ketika musim tengkujuh ini.

Tinjauan Kaunselor Bruce Chai petang Ahad lalu mendapati sebahagian besar parit dipenuhi lumpur dan tanah tebal yang terbiar bertakung sekian lama.

“Saya akan merujuk masalah itu kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan pihak berkaitan meminta mereka segera melakukan kerja-kerja pembersihan kelodak di parit tersebut,” katanya di sini kelmarin (Sabtu).

Penduduk kawasan berkenaan turut meminta MBM segera memotong ranting-ranting pokok yang menjalar memasuki kawasan kediaman di tepi-tepi jalan.

Bruce berkata masalah parit tersumbat dan pokok menjalar di Pujut Tiga dan Empat antara isu utama diutarakan kepada beliau dan Kaunselor Keith Chin pada sesi bertemu penduduk oleh sukarelawan Majulah Miri di sini petang Ahad lalu.

Tentang usaha mengatasi masalah kesesakan di bulatan hadapan GK Supermarket Pujut Tiga, Bruce berkata lebih 800 tanda tangan diperolehi daripada penduduk di sini meminta kerajaan segera meluluskan permohonan geran untuk projek menaik taraf laluan itu.

Selain sokongan secara talian, sukarelawan Majulah Miri turut turun padang mendapatkan sendiri tanda tangan daripada penduduk.

Bruce berkata kempen dimulakan sejak Ogos lalu dengan sasaran sejumlah 1,000 tanda tangan penduduk.

Masalah kesesakan di bulatan berkenaan pada waktu puncak sebelah tengah hari dan waktu balik kerja kerap disuarakan oleh penduduk berulang-alik melalui laluan berkenaan.

Antara cadangan mengatasinya ialah pembinaan laluan bawah tanah, jejambat dan menjadikan bulatan sebagai simpang jalan baharu dengan lampu isyarat jalan.

Majulah Miri melaksanakan khidmat menerusi tiga pusat khidmat iaitu Pusat Khidmat Hii King Chiong, Pusat Khidmat Hii Chin dan Pusat Khidmat Chin Chai Kong.

Menerusi sesi pertemuan itu, sukarelawan membantu penduduk mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Advertisement