Anda di sini

Ambil peluang sebagai penjawat awam bantu rakyat, kembang perdagangan

Advertisement

SIBU: Kakitangan awam diseru mengambil peluang keemasan sebagai penjawat awam untuk membantu rakyat dan mengembangkan sektor perdagangan di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, penjawat awam adalah paling bertuah kerana mereka diberi peluang untuk membantu rakyat dengan lebih dekat.

Menurutnya, itu merupakan tugas mereka untuk memastikan kerja-kerja mereka boleh mendapat manfaat dan mencipta kejayaan dalam masyarakat setempat.

“Peranan kami bukan hanya untuk rakyat tetapi sektor perdagangan juga mampu menjadikan Sibu sebuah tempat yang makmur,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sibu di sini, malam kelmarin.

Hadir sama ialah Pemangku Residen Bahagian Sibu Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah.

Beliau berkata industri pembalakan banyak menyumbang kepada pembangunan Sibu.

“Lain-lain industri seperti kelapa sawit, pembinaan kapal dan sektor perkhidmatan boleh membawa Sibu ke satu lagi tahap pembangunan.

“Oleh itu, jika kita tidak menggunakan peluang kita sebagai penjawat awam ia adalah sukar untuk Sibu berkembang,” katanya.

Beliau berkata sebagai penjawat awam, mereka perlu membantu untuk memudahkan segala proses pembangunan di sini.

Beliau juga berkata bahawa kakitangan awam perlu memikirkan cara yang lebih baik untuk meningkatkan perkhidmatan mereka supaya dapat memberi impak kepada ekonomi Sibu.

Sementara itu, beliau menggesa kepada para kakitangan awam agar tidak mencetuskan masalah yang boleh menjadi isu kepada kerajaan.

Advertisement