Anda di sini

Universiti bertanggungjawab lahir ilmuan peka seni

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Universiti mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha melahirkan ilmuan yang peka seni, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata ia selari dengan usaha untuk melahirkan seniman atau aktivis seni yang berilmu dan profesional.

“Kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Kesenian Sarawak yang diharap dapat memeta hala tuju dan agenda kebudayaan dan kesenian di negeri ini.

“Justeru, saya berpandangan bahawa universiti mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha melahirkan ilmuan yang peka seni dan juga dalam matlamat kita melahirkan seniman berilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Festival Tari Universiti-Universiti Borneo Kelima di Dewan Jubli Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak di sini malam kelmarin.

Fatimah menambah, aktiviti tarian dan kebudayaan bukan sahaja memberi manfaat kepada mahasiswa tetapi juga memantapkan jaringan hubungan sosial dan profesional di Pulau Borneo ini.

“Ini kerana Pulau Borneo ini kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan kesenian etniknya yang boleh diketengahkan dan dikongsikan bersama,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata aktiviti kesenian dan kebudayaan dapat mendedahkan generasi baharu tentang tradisi, warisan dan khazanah bangsa di Pulau Borneo.

Universiti Malaysia Sabah (USM) Kampus Antarabangsa Labuan dinobatkan sebagai juara Festival Tari Borneo kelima sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan dan sijil.

Selain itu, USM Kampus Antarabangsa Labuan turut merangkul Anugerah Busana Terbaik.

Sementara itu, naib johan dimenangi UiTM Sabah yang turut dinobatkan sebagai Koreograper Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Manakala tempat ketiga disandang oleh UiTM Sarawak dengan membawa pula wang tunai RM2,000, piala dan sijil.

Hadir sama Rektor UiTM Sarawak Datuk Dr Jamil Hamali dan tetamu kehormat lain.

Advertisement