Anda di sini

Stesen Kuasa Hidroelektrik Murum berfungsi suku kedua 2015

Advertisement

JANA KUASA: Rumah kuasa memiliki 4 x 236 MW turbin dengan keseluruhan kapasiti tenaga berjumlah 944 MW yang akan berfungsi sepenuhnya bulan depan.

BINTULU: Stesen Kuasa Hidroelektrik Murum akan berfungsi sepenuhnya pada suku kedua 2015, kata Pengurus Pembinaan Elektrikal Mekanikal Loji Jana Kuasa Murum Lee Tiong Ho.

Menurutnya, stesen ini mampu menghasilkan tenaga berjumlah 944 megawatt (MW) dengan purata kuasa tahunan 5,952 gigawatt-jam (GWh) apabila lengkap sepenuhnya.

“Stesen Kuasa Hidroelektrik Murum mempunyai empat penjana kuasa yang mana penjana bernombor empat (No.4) sudah beroperasi diikuti penjana No.3 bersedia untuk menghasilkan tenaga manakala No.2 telah selesai ujian pentauliahan serta dalam talian manakala No.1 sedang bersedia untuk ujian basah.

“Kesemua penjana ini akan dapat menghasilkan tenaga pada bulan depan, manakala pada suku kedua 2015 semuanya akan lengkap dengan setiap satu daripadanya dapat menghasilkan 236 MW,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan media ke rumah kuasa dan pusat operasinya di Stesen Kuasa Hidroelektrik Murum di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Hidro Sarawak Energy Berhad (SEB) Polycarp HF Wong berkata, projek ini terdiri daripada sebuah empangan utama, empat ‘Vertical Shaft  Francis Turbines’, penjana dan litar berganda bertransmisi 275 kilovolt (kV) daripada Stesen Hidroelektrik Murum ke Murum Junction Substation (pencawang).

Jelasnya, stesen ini memainkan peranan penting bagi membolehkan SEB menyokong pembangunan agenda Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Visi kita adalah untuk menjadi pembekal kuasa kepada ASEAN pada 2025 melalui infrastruktur rangkaian transmisi yang menghubungkan luar Sarawak seperti eksport tenaga ke Brunei, Sabah, Kalimantan Barat serta Semenanjung Malaysia, Singapura dan Sumatera,” katanya.

Advertisement