Anda di sini

SPRM perlu diberi lebih kebebasan

Advertisement

Oleh Andy Sabang //

Perkara diamal ICAC terbukti berkesan membanteras rasuah, kata Lee

SIBU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kebebasan sama seperti yang diamalkan oleh Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) yang terbukti berkesan dalam membanteras rasuah.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata ia bertujuan memastikan SPRM dapat melaksanakan fungsi mereka dengan baik, berkesan dan dihormati.

Katanya SPRM juga perlu diberi pujian kerana usaha mereka dalam menangani kes rasuah setakat ini dan inisiatif itu dapat diperhebatkan lagi seandainya SPRM menjadi badan bebas.

“Jika ia benar-benar bebas, maka perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menempatkan semula pejabat SPRM di luar Kompleks Perdana Menteri.

“Saya juga pasti jika terdapat usaha melakukan pindaan perlembagaan demi menghapuskan rasuah di negara ini ia akan mendapat sokongan semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang meluluskan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan SPRM menjadi sebuah badan bebas.

Lee turut menegaskan adalah penting bagi ahli-ahli politik memberi sokongan penuh terhadap pindaan perlembagaan yang bertujuan menjadikan SPRM benar-benar bebas dan berkesan dalam memerangi gejala rasuah di negara ini.

Ahli politik harus mengetepikan fahaman politik dan ideologi mereka sebaliknya perlu bersatu memerangi musuh utama negara.

Beliau menegaskan bahawa rasuah telah wujud sejak kewujudan organisasi manusia.

Beliau memberi amaran bahawa kewujudan rasuah memberi kesan buruk kepada hampir setiap aspek kehidupan.

Justeru usaha berterusan perlu dilakukan untuk memupuk integriti dan nilai-nilai etika kerana orang yang berintegriti tinggi tidak mungkin mengamalkan rasuah dalam apa jua keadaan.

Lee berkata penerapan nilai-nilai murni dan patuh dalam tadbir urus merupakan salah satu langkah berkesan dalam memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Advertisement