Anda di sini

Perbezaan budaya, agama kekuatan rakyat Sarawak

Advertisement

LIMBANG: Perbezaan latar belakang, budaya dan agama dianuti lebih 27 suku kaum menjadi kekuatan rakyat negeri ini  hidup dalam keadaan harmoni, bersatu padu dan bekerjasama.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perbezaan tersebut tidak pernah menjadi masalah kepada perpaduan kaum sebaliknya menjadikan masyarakat terus bersatu padu dan harmoni.

Katanya meskipun Islam menjadi agama rasmi dalam negara seperti termaktub dalam perlembagaan, kaum-kaum lain bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

“Tiada tembok perbezaan dalam memastikan rakyat di Sarawak terus hidup harmoni meskipun mempunyai kepercayaan, budaya, agama dan bahasa berbeza.

“Oleh itu, kita perlu mengelak daripada menjadi masyarakat kelam-kabut dan syak wasangka antara satu sama lain sehingga menjejaskan keharmonian dan pembangunan negeri ini,” katanya pada Majlis Hari Krismas 2014, di sini malam kelmarin.

Hadir memeriahkan majlis itu Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri, Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar.

Turut hadir isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais dan isteri Datin Masnah Ahmad, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Dayang Maimunah Mohd Daud, Temenggung Wilfred Yussin Bunjok dan Pemanca Nicholas Buyok.

Awang Tengah berkata setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab memelihara perpaduan tanpa mengharapkan kerajaan dan pemimpin tempatan sahaja.

“Kita amat bersyukur kerana mempunyai kerajaan adil dan saksama tanpa meminggirkan kepentingan mana-mana kaum.

“Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga komited agar golongan ekstrem dan fanatik tidak dibenarkan masuk ke negeri ini kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat,” ujarnya.

Katanya amalan sederhana atau wasatiyyah perlu terus diamalkan seperti diajar dalam Islam sekali gus menolak fahaman ekstrem.

“Jangan terbawa-bawa dengan isu sensitif yang diungkit-ungkit seperti berlaku di Semenanjung Malaysia, sebaliknya di negeri ini perbezaan kaum merupakan kekuatan kita terus hidup aman dan damai,” katanya.

Advertisement