Anda di sini

Lelaki cedera terkena cakera pemotong rumput

Advertisement

Oleh Rosemaria Buma //

Cakera pemotong dipasang pada mesin pemotong rumput patah lalu terpelanting dan terkena paha kanan Muslie

CEDERA: Muslie dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Miri menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

MIRI: Seorang lelaki warga emas cedera apabila cakera pemotong yang dipasang pada mesin pemotong rumput yang digunakannya patah lalu terpelanting dan terkena paha kanannya dalam kejadian di sebuah institut kemahiran di Jalan Kuala Baram Bypass, di sini pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Muslie Taman Buson, 56, dan berketurunan Berawan kemudian dikejarkan ke Hospital Miri menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu mangsa bersama enam rakan sekerja termasuk seorang penyelia wanita baharu hendak memulakan tugas rutin memotong rumput di kawasan institut terbabit.

Sementara itu, menurut seorang rakan sekerja mangsa dikenali sebagai Ree, mereka tiba di tempat kerja sekitar jam 8 pagi bersama seorang penyelia.

“Sebelum kejadian, Muslie sempat mengasah cakera pemotong yang dipasang pada mesin pemotong rumput yang digunakannya sebelum menghidupkan mesin tersebut untuk memulakan tugas rutin.

“Selang beberapa saat setelah mesin dihidupkan, kami dikejutkan dengan suara mangsa mengerang kesakitan akibat luka di bahagian paha setelah terkena cakera pemotong yang tiba-tiba patah dan terpelanting ke arah paha kanannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Melihat keadaan itu, penyelia mangsa yang hanya dikenali sebagai Doreen segera menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan.

Berikutan itu, sepasukan paramedik daripada Hospital Miri bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang insiden tersebut.

Difahamkan cakera pemotong digunakan mangsa berukuran diameter lima inci.

Advertisement