Anda di sini

Kerajaan Pahang bentang bajet lebihan RM6.58 juta bagi 2015

Advertisement

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang membentangkan bajet lebihan RM6.58 juta untuk tahun 2015 yang merupakan ke-12 seumpamanya dalam tempoh 21 tahun sejak tahun 1992.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata daripada bajet berjumlah RM872.42 juta untuk tahun hadapan itu, sebanyak RM687.33 juta adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM185.09 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Katanya ia menggunakan RM90.09 juta daripada sumber negeri dan RM95 juta daripada pinjaman kerajaan Pusat.

“Bajet tahun 2015 adalah bajet lebihan kali ke-12 dalam tempoh 21 tahun (1992-2013). Ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa berhemah dalam menguruskan kewangan kerajaan negeri,” katanya ketika membentangkan Bajet Pahang 2015 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke-13, di sini, semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri dijangka mampu membuat kutipan hasil pada tahun depan sebanyak RM879 juta iaitu kutipan hasil tanah dan galian sebanyak RM371 juta; hasil perhutanan (RM98 juta); pemberian geran daripada kerajaan Pusat (RM165 juta) dan RM245 juta daripada hasil-hasil lain-lain.

Adnan berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan negeri akan menitikberatkan keseimbangan di antara ‘ekonomi modal’ dan ‘ekonomi rakyat’ dan dalam masa yang sama akan terus mengamalkan perbelanjaan berhemah selain mengurangkan defisit fiskal.

“Bajet kali ini berpaksi kepada tiga agenda utama iaitu memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan daya saing negeri; mensejahterakan rakyat serta memperkasa agenda Bumiputera dan mengurus pembangunan modal insan dengan mengukuhkan pendidikan,” katanya.

Untuk agenda pertama, katanya kerajaan negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur dari dalam dan luar negara termasuk memperuntukkan RM242.5 juta untuk projek pembangunan sistem bekalan air di seluruh negeri Pahang.

Adnan berkata, pembangunan rangkaian jalan yang lebih luas dan efisien akan diberikan perhatian kerana ia menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dari Kuantan ke Kuala Terengganu menyumbang kepada pertumbuhan di Pantai Timur.  Begitu juga rangkaian jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highlands dan dari Jerantut ke Sungai Lembing turut menjadi keutamaan negeri,” katanya.

Selain itu, katanya infrastruktur telekomunikasi bersepadu juga telah meliputi semua kawasan industri baharu terutama di Kuantan Hi-Tech Park, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Kuantan Water Front Resort City, untuk memastikan tiada gangguan telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Dalam masa yang sama, Menteri Besar berkata kerajaan negeri tidak akan melupakan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, ternakan dan perikanan.

Katanya, pelaburan pembinaan hotel baharu bertaraf empat dan lima bintang juga akan terus diberi galakan bagi membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekali gus menarik kedatangan pelancong, terutamanya daripada kategori mewah dan berbelanja tinggi.

Bagi menyokong usaha ini, Adnan berkata kerajaan negeri melalui agensi yang berkenaan akan membantu pihak pelabur yang berminat bagi mengenal pasti kawasan tarikan berpotensi untuk pembangunan.

“Pahang menduduki tempat kedua selepas Kuala Lumpur dengan kemasukan pelancong seramai 10.6 juta dan menjana pendapatan berjumlah RM7.08 bilion pada tahun 2013. Bilangan kemasukan pelancong dijangka meningkat pada tahun 2015 berikutan daripada Tahun Melawat Malaysia (tahun 2014) diikuti dengan Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest),” katanya.

Bagi agenda kedua, Adnan berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk membina sebanyak 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun dari tahun 2013 hingga tahun 2018 dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Katanya sehingga kini, sebanyak 17,000 unit rumah telah dilulus dan dilaksanakan pembinaannya merangkumi semua daerah menerusi Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang dan jumlah itu dijangka bertambah berdasarkan permohonan daripada pemaju swasta.

“Kerajaan pusat juga telah meluluskan pelaksanaan 1,400 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat DiMiliki (PPRM) dan Rumah Idaman Rakyat yang akan dilaksanakan pada tahun depan di beberapa lokasi di Kuantan, Cameron Highlands, Jerantut, Bentong, Maran dan Lipis.

“Projek-projek ini akan memberi faedah kepada semua golongan rakyat bukan sahaja golongan berpendapatan rendah tetapi juga golongan berpendapatan sederhana kurang daripada RM5,000 sebulan bagi satu isi rumah,” katanya.

Untuk bajet tahun depan, katanya kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada Orang Asli dengan bantuan pakaian seragam, bantuan makanan, kelas tambahan peperiksaan kepada seramai 12,000 pelajar Orang Asli di sekolah rendah dan 5,000 orang di sekolah menengah.

Adnan berkata untuk agenda ketiga, langkah memantapkan prestasi sekolah dan profesional perguruan akan dilakukan termasuk mempergiatkan lagi usaha merapat jurang di antara sekolah luar bandar dan bandar dengan memastikan projek pembangunan sekolah luar bandar diberikan keutamaan. — Bernama

Advertisement