Anda di sini

Kementerian Perumahan, HDC, Daya tandatangani ikrar integriti

Advertisement

KUCHING: Kementerian Perumahan, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Daya Builders Sdn Bhd (Daya Builders) semalam menandatangani ikrar integriti sebagai langkah serius dalam menangani gejala rasuah serta mengamalkan tadbir urus yang cemerlang bagi setiap agensi.

Upacara tersebut diadakan sempena Hari Integriti Kementerian Perumahan, HDC dan Daya Builders di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, Petra Jaya di sini.

Menyempurnakan upacara menandatangi ikrar integriti berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Wan Mohd Yusop Wan Moss dan Pengarah Urusan Daya Builders Sulzari Muhammad dengan disaksikan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Justeru, Abang Johari menegaskan bahawa beliau menyokong usaha yang ditekankan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem itu untuk memerangi gejala rasuah di negeri ini.

“Usaha ini adalah sangat sesuai bagi kita yang menjalankan tugas sama ada sebagai kakitangan perkhidmatan awam mahupun pemimpin.

“Sebab itu, kita mahu menekankan pendirian Ketua Menteri mengenai pentingnya integriti walaupun pada keseluruhannya masalah ini tidaklah begitu serius di mana ia tidak mencapai tahap yang memberi kebimbangan kepada kita.

“Akan tetapi, jika tidak ditangani dan diselesaikan pada peringkat awal, ia boleh merebak menjadi satu budaya yang akhirnya akan menjejaskan kredibiliti kita dan juga cara kita melaksanakan tugas untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada acara berkenaan.

Sempena Hari Integriti tersebut, Abang Johari turut menyeru agar semua warga ketiga-tiga agensi mengambil serius mengenai hasrat kerajaan dalam menangani gejala rasuah dengan menjadi penjawat awam yang berintegriti.

“Ini akan dapat memastikan imej serta nama baik agensi sentiasa terpelihara dan kita dapat memberi perkhidmatan profesional dengan jujur dan telus kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir Pengerusi HDC Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.

Advertisement