Anda di sini

Kembara ABIM dekati belia pelbagai kaum

Advertisement

Oleh Kelvin Lambai //

TANDA INGATAN: Muzamir (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Simoi (dua kanan) sambil diperhatikan oleh Azmi (dua kanan), Abang Mohd Salleh (kanan) serta tetamu lain.

SERAMAI 60 orang peserta dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menyertai Kembara Amal 3.0 ABIM Sarawak ke Kampung Hilir, Sri Aman baru-baru ini.

Peserta kembara yang menjadi anak angkat kepada penduduk Kampung Hilir itu turut menyertai pelbagai aktiviti yang telah disusun atur oleh penduduk.

Antara program yang dilaksana ialah Kaunter Khidmat Masyarakat dan Klinik Amal, ceramah keibubapaan bersama Biro Tatanegara (BTN), pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan futsal kain pelekat, sukaneka dan program Santai Belia.

Jurucakap pengelola memberitahu, objektif utama kembara ini ialah untuk mendekati dan memahami masyarakat Islam terutamanya belia pelbagai suku kaum dan budaya luar bandar di Sarawak, di samping memberi  pendedahan gaya hidup sihat kepada masyarakat luar bandar.

Kembara tersebut juga bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kepentingan pendidikan kepada masyarakat luar bandar dan untuk membina imej positif kepada para peserta melalui pelaksanaan aktiviti khidmat komuniti dan sosial ke arah melakukan perubahan secara berhikmah.

Terdahulu, kehadiran para peserta disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri dan Yang Dipertua ABIM Sarawak Suharman Edward.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Muzamir Jili, Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Sri Aman Azmi Morshidi, Pemanca Mas Shamsiah Maslem dan Penghulu Abang Mohd Salleh Abang Kawi.

PEMERIKSAAN KESIHATAN: Salah seorang penduduk melakukan pemeriksaan kesihatan semasa program Kembara Amal 3.0 ABIM Sarawak.

BERSEMANGAT: Simoi (tengah, baju merah) merakamkan kenangan bersama para peserta Kembara Amal 3.0 ABIM Sarawak.

Advertisement