Anda di sini

Jabatan Pertanian perlukan RM2,154,000 untuk pembangunan pertanian di Murum

Advertisement

BINTULU: Jabatan Pertanian Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM2,154,000 bagi meneruskan usaha pembangunan projek pertanian di penempatan semula Murum pada 2015.

Pegawai Jabatan Pertanian Kapit Dominic Chunggat berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM900,000 dan RM450,000 diperlukan untuk Projek ‘Home Garden’ Tanaman dan Veterinar masing-masingnya, melibatkan tujuh buah kampung.

“Bagi Projek ‘Home Garden’ Perikanan, sejumlah RM350,000 diperlukan untuk dilaksanakan di empat kampung di Matalun.

“Manakala bagi Program Pengurusan dan Ekonomi Keluarga (IAT) pula, sejumlah RM300,000 anggaran peruntukan diperlukan melibatkan tujuh kampung manakala RM154,000 selebihnya bagi Pelaksanaan, Pemantauan dan Penilaian (IME),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media semasa menyampaikan taklimat mengenai aktiviti pertanian penempatan semula Murum di Hotel Promenade Bintulu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dominic turut memaklumkan bahawa jabatan itu sedang merancang melaksanakan Projek Tanaman Getah pada 2015 dan 2016 bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di penempatan semula di situ.

“Projek ini merupakan komitmen kerajaan sebelum perpindahan penduduk dan melalui pasaran sedia ada, ia bakal dilaksana secara RBP/estet mini.

“Kadar skim atau projek adalah RM22,763 sehektar (mengikut cadangan RMK-11 untuk kawasan pedalaman),” jelasnya.

Katanya lagi, melalui projek ini seluas empat hektar per Ketua Isi Rumah (KIR) atau 1,412 hektar melibatkan jumlah kos RM32,141,356 dalam tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, Dominic menjelaskan bahawa ringkasan bajet bagi program pembangunan pertanian di penempatan semula Murum bagi tahun 2013 adalah berjumlah RM5,674,010.

“Daripada jumlah itu, RM4,080,000 merupakan peruntukan oleh kerajaan negeri untuk Program 1AZAM ‘Home Garden’ Murum dan selebihnya RM1,594,010 disumbangkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui Akaun Amanah untuk Projek ‘Home Garden’ Murum dan Pembangunan Industri Padi,” katanya.

Manakala, pada 2014 pula menyaksikan jumlah ringkasan bajet bagi program pembangunan pertanian di penempatan semula Murum adalah RM3,046,098.

“Daripada jumlah itu, bagi penempatan semula Murum daripada kerajaan negeri adalah RM2,356,998 diikuti daripada Akaun Amanah untuk Projek ‘Home Garden’ Murum dan Pembangunan Industri Padi ialah RM440,500.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Agrobank pula telah memperuntukkan RM176,500 bagi Program Jom Bertani di penempatan semula Murum dan Akaun Amanah pula sekali lagi menganjurkan Program Industri Padi (Bekalan Benih Padi) Murum dengan perbelanjaan bernilai RM17,650.

“Sementara itu, kerajaan persekutuan turut memperuntukkan RM54,450 bagi Program Industri Buah-Buahan (Edibel Landskap, Murum),” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dominic berkata seramai 25 peserta terdiri daripada belia Penan melibatkan penduduk dari Long Menapa, Long Singu, Long Tangau, Long Luar dan Long Wat telah mengikuti Latihan Belia Penan Penempatan Semula Murum di Institut Pertanian Sarawak (IPS) di Kuching pada 19 Ogos hingga 11 November 2013.

Selain Dominic, tiga ahli panel lain yang turut menyampaikan taklimat ialah Timbalan Presiden Hidro Polycarp HF Wong, Pengurus Kanan Dua CSR SEB Jiwari Abdullah, Pengurus Pelaburan Sosial Joanne Tan bersama moderator Ahadiah Zamhari.

Hadir sama Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat SEB Peing Tajang, Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah dan Juruterah Awam Kanan SEB Jacklun Dominic Merickan.

Advertisement