Anda di sini

Insentif tambahan dirangka untuk pekebun kecil getah

Advertisement

Bantuan jangka panjang juga perlu dipertimbangkan

PUTRAJAYA: Beberapa insentif tambahan sedang dirangka bagi membantu kira-kira 386,000 penoreh dan pekebun kecil getah berhadapan dengan situasi kejatuhan harga komoditi dan meneruskan aktiviti industri getah, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata bantuan untuk golongan tersebut yang perlu dipertimbangkan bukan hanya dalam bentuk pemberian bantuan ‘one-off’ tetapi juga untuk jangka panjang.

“Menyedari pemberian ‘one off’ hakikat jangka pendek, kita perlu melihat cadangan untuk pastikan industri getah berkekalan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Cara-cara Bagi Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Komoditi Industri di kementeriannya di sini.

Mohd Shafie berkata cadangan insentif tambahan itu kini dalam peringkat perbincangan bersama-sama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan ia akan diperhalusi sebelum dikemukakan ke Kabinet untuk pertimbangan.

Beliau berkata cadangan bantuan itu juga adalah tambahan kepada Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan peruntukan RM100 juta seperti diumumkan dalam  Bajet 2015 bagi mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil dengan meningkatkan pendapatan mereka berikutan turun naik harga getah.

Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang turut hadir pada mesyuarat itu, berkata seramai 120,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara telah mendaftar untuk mendapatkan bantuan IPG.

“Pihak kami sedang giat turun padang ke setiap negeri untuk melihat perkembangan sesi pendaftaran tersebut yang dijangka berakhir hujung bulan ini,” katanya.

Program IPG akan digerakkan apabila harga fizikal SMR20 mencecah RM4.60 sekilogram dan harga getah beku mangkuk berharga RM1.75 sekilogram dan ke bawah.

Pelaksanaan program itu adalah melalui penyediaan insentif pada bulan semasa berdasarkan harga purata FOB SMR 20 bulan sebelumnya.

Insentif itu melibatkan 30 sen sekilogram getah beku mangkuk dengan 50 peratus isi getah kering (DRC), maksimum 90 sen bagi setiap paun susu getah berdasarkan peratusan DRC dan maksimum 60 sen setiap kilogram getah kepingan belum diasap berasaskan DRC. — Bernama

Advertisement