Anda di sini

Dewi membanggakan Sarawak dan Malaysia

Warganegara Malaysia pertama menang ‘Miss Talent’ pada Miss World 2014 di London, Ahad lepas

Miss Malaysia World 2014 Dewi Liana Seriestha warganegara Malaysia pertama menangi gelaran ‘Miss Talent’ pada Miss World 2014 di London. — Gambar AFP

KUCHING: Miss Malaysia World 2014 Dewi Liana Seriestha telah menjadi warganegara Malaysia yang pertama memenangi gelaran ‘Miss Talent’ pada pertandingan akhir Miss World 2014 yang diadakan di London, Ahad lepas.

Anak tempatan Sarawak berumur 25 tahun itu memikat hati juri dan penonton di Auditorium Excel London ICC bersama ribuan penonton yang tidak melepaskan peluang menonton di kaca televisyen.

Dewi menampilkan persembahan vokal yang mantap selain Miss Scotland, Ellie McKeating yang membuat persembahan menonjolkan vokal ‘gaelic’ tradisional negaranya.

Anak Sarawak itu bagaimanapun mempersembahkan lagu klasik opera bertajuk ‘Don Juan Triumphant’ yang dipetik daripada album ‘The Phantom of the Opera’.

“Saya memilih untuk menyanyikan lagu itu kerana ia menunjukkan bakat tersendiri yang saya miliki.

“Pada masa yang sama, ia juga bagaimana cara saya tunjukkan betapa saya mencintainya muzik klasik dan apa yang telah saya pelajari di kelas vokal sebelum ini.

“Miss Scotland merupakan pesaing yang tidak kurang hebatnya dan ia merupakan saat paling sukar buat juri untuk membuat keputusan.

“Namun nampaknya nasib menyebelahi saya dan amat berterima kasih kerana dapat memenangi gelaran ini untuk Malaysia,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Tambahnya, pengalaman dan persembahan di pentas dunia itu merupakan kenangan yang amat berharga buat dirinya.

“Saya telah mencuba sebaik mungkin, tetapi memang saya amat gembira.

“Tuhan berikan saya sebab untuk memenangi gelaran ini untuk menjadikan ia inspirasi kepada yang lain yang mempunyai bakat dalam bidang muzik,” yang juga merupakan antara 25 peserta pertandingan akhir.

Gelaran Miss World 2014 dimahkotakan kepada Miss South Africa Rolene Strauss, berumur 22 dan juga seorang siswi perubatan tahun keempat oleh Miss World 2013 Megan Young dari Filipina.

Disusuli Miss Hungary Edina Kulscar, sementara Miss United States Elizabeth Safrit berada di tempat ketiga pada pertandingan ratu cantik kali ke-64 itu.

Sepuluh finalis teratas adalah Miss Australia Courtney Thorpe, Miss England Carina Tyrrell, Miss Guyana Rafieya Husain, Miss Mexico Daniela Alvarez Reyes, Miss Brazil Julia Gama, Miss Kenya Idah Nguma dan Miss India Koyal Rana.

Pada masa yang sama, Presiden Persatuan Warisan Bung Bratak Datuk Peter Minos berkata ‘Miss Talent’ yang dimenangi Dewi Liana membuktikan Malaysia mempunyai ramai rakyat yang berbakat, antara lain mereka diketepikan atau tidak berpeluang untuk menonjolkan bakat itu.

Beliau sendiri mengucapkan penghargaan kepada Dewi sambil menambah ‘Miss Talent’ berumur 25 tahun yang berasal dari Kampung Tematu itu boleh mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian ditambah dengan bidang peragaan dan tarian.

“Sebagaimana Pandelela Rinong dari Kampung Jugan yang memenangi gangsa pada Olimpik 2012 di London, Dewi membuatkan komuniti Bidayuh berbangga dengan kejayaan mereka di pentas dunia.

“Dia adalah kebanggaan Sarawak dan Malaysia,” kata Minos, yang juga merupakan bekas presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

BERBAKAT: Dewi mempersembahkan ‘Don Juan Triumphant’ di pertandingan akhir Miss World 2014 baru-baru ini. — Gambar Dewi Liana Seriestha

MEMBANGGAKAN: Dewi menerima anugerah ‘Miss Talent’ daripada Miss Wold 2014, Rolene Strauss. — Gambar Dewi Liana Seriestha