Anda di sini

Balai polis dicadang dibina di Senadin

Advertisement

MIRI: Sebuah balai polis dicadang dibina di kawasan Senadin tahun depan untuk menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata cadangan itu dibuat berikutan skop liputan Balai Polis Lutong sangat luas meliputi kawasan Lutong, Tudan, Permyjaya dan hingga ke Sungai Tujuh, Kuala Baram.

Katanya dengan kekuatan anggota polis hanya seramai 33 orang di Balai Polis Lutong, terdapat keperluan untuk mewujudkan sebuah lagi balai polis baharu di kawasan Senadin.

“Ini merupakan satu keperluan berikutan jumlah populasi di kawasan tersebut semakin meningkat sejak kebelakangan ini,” katanya sambil menambah setakat ini cadangan itu masih belum mendapat kelulusan pihak berkaitan.

Gan turut memberitahu, pihaknya bercadang menyewa sebuah lot kedai untuk menempatkan Balai Polis Lapangan Terbang Miri (LTM) memandangkan pada masa sekarang mereka menumpang di bangunan LTM.

“Buat masa ini, kami menumpang di dalam bangunan LTM dan selepas jam 11 malam, anggota tidak dibenarkan masuk.

“Ia satu kesulitan untuk anggota bertugas dan oleh itu kami bercadang menyewa sebuah lot kedai untuk dijadikan balai polis,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihati orang awam yang ingin pulang bercuti sempena perayaan Hari Krismas pada minggu depan supaya memaklumkan ketiadaan mereka di rumah kepada polis bagi memudahkan anggotanya memantau kawasan kediaman mereka.

“Maklumkan juga kepada jiran sebelah tentang ketiadaan anda dan jiran harus prihatin dengan kehadiran orang yang mencurigakan di kawasan anda.

“Ambil gambar dan nombor plat pendaftaran kenderaan yang digunakan individu terbabit dan kemudian hantar kepada polis,” katanya di sini semalam.

Menurut Gan, apabila semua pihak memainkan peranan, nescaya kadar jenayah di sesebuah kawasan dapat dikurangkan.

“Memang tidak dinafikan adalah sukar menghapuskan jenayah 100 peratus namun sekurang-kurangnya ia dapat dikurangkan apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada polis,” katanya.

Advertisement