Anda di sini

Anggota, pegawai diingat utamakan nama PDRM

Advertisement

SIBU: Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya mengutamakan nama jabatan walau di mana jua mereka berkhidmat.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi berkata, pegawai awam yang berkhidmat dalam PDRM adalah penggerak utama menjamin imej pentadbiran kepolisan.

Selain itu, ia juga merupakan aset penting kepada pasukan penguatkuasaan itu bagi menjamin ia terus relevan dalam cabaran hari ini dan masa akan datang.

“Anggota polis perlu menjaga nama baik pasukan (PDRM) setiap masa bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada mereka.

“Selain itu anggota polis juga perlu mewujudkan keadaan sinonim dengan mesra rakyat, pada masa yang sama bersikap tegas, adil dan berhemah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang di Dewan Balai Polis Sibu Jaya malam kelmarin.

Menurut Kamal, mereka hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan imej melalui keterampilan, keperibadian, integriti dan memperbaiki sahsiah diri.

Usaha sedemikian jelas beliau, sangat penting demi menguatkan organisasi polis supaya terus cemerlang.

Selain itu jelas beliau, warga PDRM perlu menjaga tingkah laku dan disiplin supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat.

“Dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan ketenteraman awam kita akan berdepan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai kerenah.

“Jangan harapkan pujian atas kejayaan yang dicapai tapi bersedialah untuk menerima cabaran baharu,” jelas beliau.

Turut hadir Ketua Badan Siasatan Jenayah (KBSJD) DSP Yeoh Chun Shyan.

Advertisement