Anda di sini

PERKASA memperjuangkan agama dan bangsa: Ibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bukan sebuah pertubuhan ekstrem sebaliknya telah banyak memperjuangkan kepentingan negara, agama Islam dan bangsa Melayu, kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali.

Katanya PERKASA tidak bertindak di luar batasan sehingga melakukan serangan peribadi dan bersifat perkauman seperti didakwa oleh beberapa tokoh-tokoh Melayu yang menulis surat terbuka baru-baru ini.

“Perjuangan saya dan PERKASA untuk orang Melayu dan Islam terlalu banyak hingga ada pihak yang berasa terancam dan menjauhkan diri daripada pertubuhan yang berjuang untuk bangsa Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Tahunan PERKASA kelima yang dirasmikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad di Pusat Islam di sini semalam.

Baru-baru ini seorang bekas duta Malaysia dan sekumpulan tokoh profesional Melayu membidas PERKASA dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kerana hanya melakukan serangan peribadi dan bukan mahu berdebat mengenai perkara dibangkitkan dalam surat terbuka yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ibrahim berkata PERKASA juga mempunyai tokoh-tokoh Melayu yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang berbeza sekiranya dibandingkan dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang terbukti bersifat perkauman dan melampau.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan perlu menyemarakkan semangat Rukun Negara, memperjelaskan kepada rakyat falsafah dan semangat yang tersirat di sebalik peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Abdul Hamid dalam ucapannya berkata orang Melayu sekarang menghadapi satu keadaan yang goyah berbanding pada tahun 1946, pada waktu itu orang Melayu kuat dan bersatu.

“Hari ini orang Melayu berpecah dan diperalatkan sehingga suara majoriti telah menjadi minoriti sementara suara minoriti menjadi sebaliknya dan menjadi kuasa penentu, malangnya orang Melayu tidak sedar dan tidak mengambil perhatian serius mengenainya dan hanya mengejar kuasa, pangkat dan wang semata-mata,” katanya.

Beliau berkata beberapa sikap negatif orang Melayu perlu diubah iaitu, membuangkan sikap mengambil jalan pintas untuk berjaya, membuang sifat hasad dengki, menjauhi sifat riak dan perlu mempunyai jati diri dan berprinsip dalam mempertahan sesuatu isu. — Bernama

Advertisement