Anda di sini

Penyelidik perlu bantu rakyat dalam inovasi mereka

Advertisement

ALOR GAJAH: Penyelidik di negara ini perlu keluar daripada ‘tempurung’ mentaliti stereotaip yang hanya mahu menyelidik tanpa memikirkan faktor penting lain di sebalik penyelidikan tersebut.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata penyelidik perlu terlebih dahulu memikirkan faktor penting seperti sejauh mana hasil penyelidikan itu dapat dikomersialkan dan membantu rakyat sebelum melaksanakan sesuatu penyelidikan.

“Sebagai ahli akademik, saya sendiri rasa terkilan apabila terlalu sedikit hasil penyelidik di negara ini dapat dikomersilkan, lihat pada Rancangan Malaysia Ke-9 kerajaan membelanjakan RM3.2 billion untuk penyelidikan tetapi hanya 8.32 peratus hasilnya dapat dikomersialkan.

“Kalau ikutkan RM3.2 billion boleh buat lebih 6,000 rumah mampu milik beri percuma kepada rakyat tetapi tidak, kerajaan belanjakan jumlah itu kerana percaya hasil penyelidikan ini dapat bantu rakyat tetapi apa dihasilkan penyelidik ini mengecewakan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau ditemui pada majlis penutupan Karnival Penyelidikan, Rekacipta, Inovasi dan Reka Bentuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di sini, semalam.

Karnival dua hari berakhir semalam, turut dihadiri Rektor UiTM Melaka Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim dan disertai 242 kumpulan dari seluruh negeri.

Abu Bakar berkata penyelidik perlu mengikis sikap suka mendabik dada apabila hasil penyelidikan mereka memenangi anugerah atau kertas kerja penyelidikan mereka dapat dipersembahkan di pentas antarabangsa, kerana realitinya itu semua tiada makna sekiranya hasil kerja mereka gagal membantu rakyat.

“Di Parlimen, kementerian saya ditanya berapa banyak hasil penyelidikan telah dikomersialkan dan beri manafaat kepada rakyat, tak kan nak jawab dah dapat anugerah pingat itu semua sahaja…kerajaan sudah buat banyak perkara tetapi masalahnya hasil peringkat penyelidik ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merangsang penyelidikan yang mampu membantu rakyat termasuk membiayai penyelidik mendapat kelulusan peringkat Doktor Falsafah (PhD), biayai penyelidikan dan membeli hasil penyelidikan itu.

“Kita ada dana RM50 juta beli hasil penyelidikan daripada penyelidik yang kerajaan sendiri biayai di mana hasil ini kita beri kepada sekolah, hospital atau tentera untuk kegunaan mereka, jadi beritahu saya apa lagi yang penyelidik ini mahu daripada kerajaan, semua sudah bagi,” katanya.

Beliau menegaskan dalam mengejar status sebagai negara maju berpendapatan tinggi Malaysia tidak boleh kekal sebagai sebuah negara yang membeli inovasi baharu, sebaliknya perlu menjadi negara penyelidikan yang menghasilkan inovasi baharu.

Justeru, Abu Bakar berkata generasi penyelidik di negara ini perlu diasuh untuk berada di peringkat lebih tinggi daripada penyelidik sekarang seterusnya memastikan mereka memecah ‘tempurung’ yang diwarisi daripada penyelidik terdahulu.

“Penyelidik baharu perlu sentiasa fikir apakah langkah seterusnya, seperti penyelidikan mengenai lalat sekarang sudah banyak penyelidikan mengenai kitaran hidup lalat jadi jangan lah buat benda sama, fikir langkah seterusnya bagaimana hapuskan masalah lalat dengan apa kita tahu tentang kitaran hidupnya,” katanya.

Beliau berkata hanya dengan berfikir ‘apakah langkah seterusnya’ penyelidik boleh sentiasa menghasilkan inovasi dan teknologi baharu untuk negara, jika tidak penyelidikan mereka akan terperangkap dalam kitaran penyelidikan yang sama.

Katanya, Malaysia dan para penyelidiknya perlu lebih berani dalam mengorak langkah meneroka inovasi dan teknologi baharu agar tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan.

“Sekarang rakyat Myanmar datang Malaysia kerana kita lebih maju, tetapi sekarang Myanmar berani dalam inovasi antaranya teroka teknologi nuklear tetapi orang kita masih takut lagi dengan nuklear, jangan sampai satu tahap orang Malaysia pula cari kerja di Myanmar kerana Malaysia sudah ketinggalan,” katanya. — Bernama

Advertisement