Anda di sini

Kejayaan Kolej Vokasional Betong kebanggaan Sarawak

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

ANTARA TERHEBAT: Rozainum Ahmad (berdiri sebelas kiri) dan Lim Yam Poh (berdiri sepuluh kiri) dan warga KVB (Nor Afiza dan Aminadia serta ahli-ahli RTP) sempat merakam kenangan bersama pemenang lain iaitu SMK Skudai, Johor Bahru, SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Johor, SMK Bakti Pulau Pinang dan SMK Telok Datok, Selangor.

KEJAYAAN Kolej Vokasional Betong (KVB) menjuarai Pertandingan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) Cabaran Money Smart 2014 baru-baru ini amat membanggakan warga Bumi Kenyalang.

Mereka menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, Johor Bahru (kedua), SM Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Johor (ketiga), SMK Bakti, Pulau Pinang (keempat) dan SMK Telok Datok, Selangor (kelima).

Dengan kemenangan tersebut, KVB berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia Rozainum Ahmad pada satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Berinspirasikan tema ‘Fly Kenyalang Fly, Fly In High’, KVB melalui cabaran ini berazam dan berhasrat menjadi perantara kepada komuniti rumah panjang dan teknologi dalam urusan kewangan agar mereka sedar bahawa semuanya cukup mudah di hujung jari.

Menurut guru pengiring Nor Afiza Azhar, tercetusnya idea untuk memperkenalkan penggunaan teknologi dan membudayakan ‘peka kewangan’ kepada komuniti rumah panjang adalah hasil inspirasi guru-guru yang berhasrat untuk mendekati dan menjiwai kehidupan penduduk rumah panjang.

“KVB yang menamakan kumpulan dengan nama Ready To Perform (RTP) diwakili oleh Chynthia Maria Kong, Mohd Nabil Rusydan, Wenslaus Arbile, Christina Gada dan Azlynny bersama seorang lagi guru pengiring, Aminadia Aznam menekankan peranan PIDM agar komuniti celik berhubung perlindungan yang diberikan,” katanya.

Beliau yang dinobatkan sebagai Duta Terbaik PIDM 2014 cukup berbangga dengan komitmen dan kesungguhan anak didik di samping usaha keras rakan seperjuangan, Aminadia yang telah membuktikan bahawa KVB mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sekolah di luar yang lebih ke hadapan.

Afiza menjelaskan, KVB dalam cabaran berkenaan memperjuangkan tajuk ‘Teknologi Merentas Sempadan Dalam Pembudayaan Amalan Peka Kewangan’ benar-benar memberikan impak yang cukup besar kepada pelajar, mahupun komuniti di Betong yang terlibat secara langsung.

“Dalam projek Cabaran Money Smart 2014, kami telah memilih tiga rumah panjang iaitu Rumah Panjang Baloi, Skrang, Rumah Panjang Kechendai Jaloh, Ulu Layar dan Rumah Panjang Semumok Atas, Betong untuk membantu menjayakan cabaran ini.

BAKAT MUDA: Ahli-ahli pasukan RTP turut melaksanakan penjualan filem dan aplikasi permainan di rumah panjang.

“Bermula daripada penyediaan papan tanda ‘Amalkan Peka Kewangan’, seterusnya pengagihan brosur berkaitan teknologi PIDM serta penyediaan jam ‘custom made’ yang memuatkan gambar ahli-ahli kumpulan sebagai cenderahti.

“Kami sangat bersyukur kerana semua komuniti rumah panjang yang terlibat memberikan sokongan dan kerjasama yang cukup baik terutamanya dari segi keterbukaan berhubung penggunaan teknologi yang sudah semestinya menjimatkan di samping mudah dan cepat. Itulah yang membuatkan semangat terus berkobar-kobar untuk menjayakan projek berkenaan.

“Peranan PIDM serta amalan peka kewangan juga dikongsikan dengan peniaga serta orang awam di sekitar pekan Betong melalui program ‘We Care, We Save Your Money’.

“Penerimaan komuniti sangat baik dan saya yakin mereka akan lebih jelas tentang peranan PIDM secara khususnya.

“Setiap aktiviti peka kewangan sangat diterima baik dan warga KVB teruja dalam melibatkan diri dan kami sempat mengadakan program untuk membudayakan amalan kewangan dalam diri setiap warga dengan penganjuran program ‘Renew Asrama’, Program Mencantikkan Barangan Lama Menjadi Baru, Program Coretan Bijak Wang dan pelbagai lagi.

“Penat lelah RTP membuahkan hasil dan kami telah berjaya membuktikan kami adalah juara dengan kelainan konsep pembentangan berbentuk ‘talk show’ yang menonjolkan kehebatan dan kepetahan anak-anak Bumi Kenyalang.

“Oleh yang demikian, kami sangat berharap agar kesamarataan kemudahan teknologi dan perbankan di kawasan luar bandar diambil perhatian agar semua warga menikmati kemudahan yang sewajarnya.

“Di samping itu, pembudayaan amalan peka kewangan diharap akan terus sebati dan menjadi amalan semua dalam kehidupan seharian,” tambahnya.

KAMI SOKONG: Sebahagian daripada warga KVB yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan padu kepada para peserta Cabaran Money Smart 2014.

PELUKAN KEGEMBIRAAN: Nor Afiza dan Aminadia memeluk anak-anak didik mereka sebaik sahaja diumumkan keputusan yang menobatkan KVB sebagai Juara Cabaran Money Smart 2014.

Advertisement