Anda di sini

3,000 hektar tanaman kelapa diperlukan, tampung permintaan tambahan 72 juta biji

Advertisement

BAGAN DATOH: Negara memerlukan kira-kira 3,000 hektar tanah lagi untuk tanaman kelapa bagi menampung keperluan tambahan sebanyak 72 juta biji kelapa setahun, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini, pengeluaran kelapa adalah 539 juta biji setahun berbanding keperluan pengguna iaitu 611 juta biji setahun.

“Sebab itu, kita nak galakkan lagi penanaman kelapa. Kalau boleh, kita tidak mahu bergantung kepada import kelapa.

“Di Bagan Datoh, misalnya, yang memiliki kawasan tanaman kelapa seluas kira-kira 10,000 hektar, kita perlu didik petani di sini supaya tidak mengubah kepada tanaman lain sekali gus boleh tingkatkan lagi pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyerahan Bantuan Projek Pemulihan Kelapa Matag Daerah Hilir Perak di Pertubuhan Peladang Kawasan Bagan Datoh di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 130 peserta pekebun kecil terlibat dengan projek pemulihan itu meliputi kawasan seluas 187 hektar merangkumi dua mukim iaitu Mukim Bagan Datoh dan Mukim Hutan Melintang.

Tanaman Kelapa Matag boleh menghasilkan 20,000 hingga 23,000 biji kelapa sehektar setahun yang mampu menjana pendapatan sebanyak RM20,000 hingga RM24,000 setahun.

Ismail Sabri berkata dalam setahun, sebanyak 25,000 biji kelapa boleh dihasilkan oleh satu hektar kawasan tanaman kelapa.

Beliau berkata permintaan bagi bekalan kelapa akan meningkat menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, Aidiladha dan Thaipusam.

Berikutan itu, kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari negara jiran berikutan bekalan sering tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di negara ini.

“Ini bermakna potensi kepada (permintaan) kelapa masih tinggi. Kalau kita lihat dari segi harga, kelapa tak akan jatuh mendadak. Setakat hari ini, pekebun kelapa jual sekitar RM1 hingga RM1.20 sebiji,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rumpai miang Mexico atau ‘Parthenium Hysterophorus’ yang terdapat di enam negeri, beliau menasihatkan orang ramai yang dapat mengesan rumpai itu supaya segera melaporkannya kepada Jabatan Pertanian untuk memusnahkan tumbuhan itu.

“Pokok ini bukan ditanam atau pokok pertanian, jadi untuk kita kenal pasti di mana tempat itu agak sukar.

“Kita sudah mengeluarkan poster bagi memaklum orang ramai supaya dapat mengenali tentang pokok itu sebab mungkin ada yang keliru dengan ulam raja yang tak jauh bezanya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.

Rumpai itu merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia. Ia berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Antara negeri yang dikesan ditumbuhi rumpai miang Mexico ialah Perak (lapan hektar), Selangor (0.7 hektar), Kedah (13 hektar), Negeri Sembilan (5.6 hektar), Johor (0.9 hektar) dan Melaka (0.08 hektar). — Bernama

Advertisement